Mahu ambil berkat, budaya cium & basuh muka dengan air kaki jemaah baru balik Haji jadi perhatian

Mahu ambil berkat, budaya cium & basuh muka dengan air kaki jemaah baru balik Haji jadi perhatian

 

Baru-baru ini, tular di media sosial gelagat jemaah haji Indonesia yang tiba di tanah air mereka sebaik sahaja pulang daripada menunaikan Rukun Islam Kelima itu.

Menerusi video yang tular, beberapa jemaah turun dengan gaya seperti model dari kapal terbang dan dilihat mengenakan baju yang sesuai dipakai di acara karpet merah.

Malah, ada di antaranya yang turut menggayakan tudung hingga menampakkan bahagian leher dan sebahagian rambut mereka.

Ada yang mendakwa itu adalah budaya segelintir masyarakat di negara jiran itu.

Terbaharu, tular satu lagi video yang memaparkan sekumpulan individu yang dipercayai dari negara sama sedang menyambut kepulangan jemaah haji mereka.

Menerusi video yang dikongsikan semula di platform X di akaun @mhmmdhsm, kelihatan dua orang individu lelaki dan perempuan sedang duduk di atas kerusi dengan kaki masing-masing direndam dalam bekas berisi air.

Apa yang menjadi perhatian adalah terdapat dua orang wanita dilihat menyapu air rendaman tersebut di muka masing-masing serta mencium kaki jemaah haji berkenaan.

Malah, kedua-duanya dilihat memeluk jemaah haji wanita dan lelaki itu selepas bertindak sedemikian.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada mereka mempunyai pertalian darah atau jemaah haji tersebut adalah guru mereka.

Difahamkan, perbuatan tersebut merupakan budaya segelintir masyarakat di sana yang dipercayai dilakukan bagi mendapat keberkatan daripada jemaah haji yang baru pulang dari Tanah Suci Mekah itu.

“Lain macam ye balik haji sampai macam ni, air kaki hajah tu dia buat basuh muka ambil berkat katanya,” tulis pemilik akaun berkenaan.

@bapakandalah

Replying to @kaksiti99 Ini apa miska? Budaya orang dibilang gituan #jamaahhajiindonesia2024 #menyalaabangkuh🔥 #pulanghaji2024

♬ original sound – ︎Puki_Bulu – ︎Puki_Bulu

Aksi penduduk dari negara seberang itu nyata menarik perhatian ramai. Rata-rata daripada mereka meluahkan rasa hairan dan pelik dengan perbuatan menyapu air rendaman kaki serta mencium kaki jemaah haji berkenaan.

Malah, ada yang mempersoalkan bagaimana jemaah haji itu boleh bertindak dan berkelakuan sedemikian selepas pulang daripada menunaikan ibadah.

Memetik laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, perbuatan mencium kaki ulama yang soleh adalah  diharuskan menurut pandangan ulama.

Namun, dengan syarat perbuatan itu dilakukan sebagai tanda penghormatan kerana ilmu, akhlak dan keperibadiannya yang tinggi serta mulia.

Sekiranya ia dilakukan atas faktor keduniaan seperti pangkat dan harta maka ia perlulah ditegah sekeras-kerasnya.

Pun begitu, budaya dan uruf di Malaysia kurang dipraktikkan sedemikian. Jika ianya boleh membuka pintu fitnah sebaiknya dielakkan, kata pejabat mufti.

Menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, mencium kaki ibu bapa dan seumpamanya juga adalah diharuskan.