“Akhirnya saya menang” – Tepati ramalan, Liza Aziz juara Gegar Vaganza 11

“Akhirnya saya menang” – Tepati ramalan, Liza Aziz juara Gegar Vaganza 11
Persembahan konsisten dan sering dipuji juri memberi kelebihan kepada Liza Aziz untuk diangkat juara musim kesebelas program realiti Gegar Vaganza (GV11) di sini, malam tadi.
Liza yang popular dengan lagu Bermula Cerita menewaskan lima peserta lain dan membawa pulang wang tunai RM100,000 serta trofi.
Penyanyi bervokal ampuh itu memberi persembahan bertenaga dengan membawakan lagu I Surrender untuk segmen solo selain berpadu suara dengan Kridayanti menerusi lagu Cinta dan slot ‘battle’.
Liza meluahkan rasa syukur atas kemenangannya itu.
“Akhirnya kini pasti saya menang. Kepada yang suka dan tidak suka, saya hendak ucapkan terima kasih,” katanya.
Sementara itu, tempat kedua disandang Ning Baizura meraih hadiah wang tunai RM50,000 dan trofi. Tempat ketiga dimenangi Sheila Abdul manakala Dadali Dyrga meraih tempat keempat.
Tempat kelima dimenangi Zehra Zambri dan The Lima meraih tempat keenam.
Kemuncak GV11 dikendalikan Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad yang disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). GV11 diadili tiga juri tetap iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.
Malam kemuncak itu turut diserikan dengan persembahan Datuk Jamal Abdillah, Krisdayanti, Pasha Ungu, Jaclyn Victor, Taufik Batisah dan kumpulan Dolla.