Lelaki OKU terpaksa buang perasaan malu selongkar tong roro demi sesuap nasi
Hati siapa tidak tersentuh apabila melihat kelibat lelaki orang kurang upaya (OKU) ini sibuk menyelongkar tong roro, dekat sini, demi sesuap nasi dan kelangsungan hidup.
Lebih menyayat hati, Jefri Regan, 45, dalam keadaan bertongkat terpaksa berpanas atau berhujan mencari barang terpakai terutama besi buruk sebagai sumber pendapatan harian.
Jefri yang kehilangan kaki kiri akibat kebakaran rumah kongsi di Kajang, Selangor berkata, tong roro yang menjadi tempat orang ramai membuang sampah kini menjadi sumber rezekinya.
“Memang segelintir orang akan pandang serong dengan apa yang saya lakukan ini, tetapi apa boleh buat, mahu tidak mahu saya terpaksa buat (cari barang terpakai) untuk hidup.
“Sudah banyak tempat saya pergi untuk memohon pekerjaan, namun bukan mudah OKU seperti saya orang mahu ambil sebagai pekerja,” katanya ketika ditemui, dekat sini.
Jefri berkata, dia mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM10 sehari dengan menjual barang terpakai atau besi buruk, tetapi adakala terpaksa pulang dengan tangan kosong.
Menurutnya, jika sebelum ini dia berjalan dari tong roro ke tong roro lain, namun kini bersyukur rakan serumah yang juga OKU meminjamkan motosikalnya untuk memudahkan bergerak.
Katanya, dia menerima bantuan Baitulmal sebanyak RM300 sebulan dan berkongsi membayar sewa rumah sebanyak RM150 sebulan dengan rakannya.
“Baki wang bantuan itulah digunakan untuk membayar bil dan membeli makanan, namun kadang kala saya kehabisan wang sara hidup harian.
“Keadaan ini memaksa saya buang perasaan malu dengan mencari barang terpakai terutama besi buruk dalam tong roro bagi menampung hidup,” katanya.
Katanya, kadangkala ada individu yang tersentuh melihat keadaan dirinya menghulurkan sumbangan wang atau makanan.
“Saya reda dan bertawakal kepada Tuhan dalam menghadapi dugaan hidup yang serba mencabar ini.
“Maaf, jika kehadiran saya di mana-mana tempat sebelum ini tidak disenangi atau mengganggu mana-mana pihak. Selagi sihat, saya akan gunakan kudrat yang ada untuk hidup berdikari,” katanya. – HM