Lelaki menyesal ‘tercerai’ isteri secara online

Lelaki menyesal ‘tercerai’ isteri secara online
Akibat mengikut amarah, seorang lelaki menzahirkan lafaz talak menerusi WhatsApp akibat pertengkaran menerusi platform berkenaan.
Lelaki itu mahu dikenali sebagai Azman, 29, berkata, dia menaip lafaz berkenaan kerana sudah tidak tahan provokasi isterinya yang mempertikaikan peranannya sebagai ketua keluarga.
“Selepas menghantar mesej berkenaan, saya tutup telefon pintar, selepas saya tenang, baru saya terfikir apakah wajar tindakan berkenaan.
“Saya juga berbincang dengan isteri tentang insiden berkenaan dan kami merujuk dengan pakar agama termasuk pejabat agama untuk mendapatkan kepastian.
“Untuk kes kami, lafaz talak berkenaan jatuh kerana saya melafazkan dalam keadaan waras, tidak dipengaruhi bahan terlarang, lafaz berkenaan tidak samar atau ‘kinayah’ dan maksudnya adalah jelas iaitu menceraikan isteri,” katanya.
Azman berkata, insiden yang berlaku awal tahun lalu banyak memberi pengajaran kepadanya serta isteri iaitu tidak terlalu mengikut amarah dan rasa tidak puas hati.
Menurutnya, jika berdepan dengan konflik, dia serta isterinya akan mengambil pendekatan berbincang secara bersemuka termasuk mengelakkan daripada provokasi berlebihan antara satu sama lain.
“Insiden ini banyak mengajar kami khususnya saya sebagai lelaki untuk tidak bermudah-mudahan dalam melafazkan talak walau apa juga keadaan.
“Selepas kejadian itu juga, saya serta isteri ada mendapatkan khidmat kaunseling keluarga untuk sama-sama belajar memperbaiki hubungan pada masa depan.
“Saya nasihatkan kepada pasangan di luar sana supaya sentiasa rasional dalam tindakan dan tidak memilih jalan singkat untuk keluar daripada satu-satu masalah,” katanya.