“Mesti stres perempuan tu..” – Ramai tak boleh terima budaya lelaki makan dulu, isteri kemudian

“Mesti stres perempuan tu..” – Ramai tak boleh terima budaya lelaki makan dulu, isteri kemudian
Topik mengenai lelaki makan dahulu sementara wanita perlu menghidang dan menunggu giliran mereka untuk makan menjadi perbualan hangat di media sosial.
Perdebatan ini tercetus apabila ‘tradisi’ ini masih diamalkan dalam sesetengah keluarga sekali gus menimbulkan pelbagai pandangan dalam kalangan masyarakat.
Dalam satu hantaran di media sosial, pencipta kandungan Dina Shuz turut memberikan pendapatnya mengenai isu tersebut.
Menurutnya, budaya lelaki dan anak-anak makan dahulu sementara wanita menghidang dan menunggu giliran untuk makan adalah sesuatu yang sudah ketinggalan zaman.
“Kalau saya dalam keluarga yang masih mengamalkan budaya macam tu, saya akan ikut saja sebab anggap diri tetamu kan.
“Ingat kita jadi tetamu pun kena ada adab. Ikut saja apa kata tuan rumah. Tapi saya dibesarkan dalam budaya di mana orang lelaki, wanita dan anak-anak kena masak, makan dan kemas bersama,” katanya.
Perkongsian ini mendapat sokongan ramai yang turut menyatakan pendapat mereka mengenai budaya tersebut.
Rata-rata beranggapan budaya ini tidak lagi relevan pada zaman sekarang dan boleh memberi tekanan kepada wanita yang baru berkahwin dan masuk ke dalam keluarga dengan amalan seperti ini.
“Kalau zaman sekarang ada yang macam ni (makan kena asing-asing), saya akan rasa kasihan. Mesti stres perempuan yang masuk dalam keluarga lelaki macam tu.
“Ada lagi ye budaya macam tu. Otak saya tak boleh nak fikir la. Sudah penat-penat masak semua lepas tu kena tunggu giliran nak makan,” ujar seorang netizen.
Selain itu, terdapat juga individu yang berkongsi pengalaman mereka berdepan situasi yang sama sebelum ini.
Rata-ratanya bersetuju bahawa jika bertandang ke rumah orang, sebagai tetamu, mereka akan menghormati budaya tuan rumah.
Namun, di rumah sendiri mereka lebih memilih untuk mengamalkan makan bersama dan melakukan kerja rumah secara bersama-sama.
“Betul, kalau kita sebagai tetamu kena la ikut budaya mereka. Tapi dekat rumah sendiri, semua makan dan kemas bersama. Siapa lambat turun makan, pandai-pandai la sendiri.
“Betul. Kalau ada anak kecil, ada kesempatan suap je makan dulu sebelum Maghrib tu. Yang lain semua makan sama-sama masa berbuka. Walaupun luar bulan Ramadan pun amalkan je biasa. Tak payah la ‘culture‘ lelaki makan dulu ni,” komen netizen lagi.