Lelaki dakwa ibu Aliff Syukri, Bonda Rozita amal ilmu batin untuk kekal cantik?

Lelaki dakwa ibu Aliff Syukri, Bonda Rozita amal ilmu batin untuk kekal cantik?

 

Seorang individu dakwa Bonda Rozita mengamalkan ilmu batin yang menjadi asbab usahawan kecantikan itu kekal menawan meskipun usia sudah mencecah 60 tahun.

Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh seorang pengguna di laman TikTok @khairulaminnnn, individu terbabit keluarkan kenyataan berunsur fitnah itu melalui siaran langsung bersama pengikutnya, baru-baru ini.

Individu tersebut turut mendakwa Bonda Rozita telah mengubahsuai wajahnya dan meminta kepada orang ramai supaya tidak terlalu taksub dengan produk yang dikeluarkan oleh usahawan terbabit.

“Muka dia (Bonda Rozita) dah modified, siapa pentaksub Bonda Rozita? Kamu jangan percayalah sebab dia pakai produk muka dia macam itu.

“Dia bukan makan produk sahaja tu, ada ilmu-ilmu batin yang dia beramal. Hanya orang boleh scan je tahu. Orang yang ada ilmu-ilmu makrifat, ilmu batin sahaja tahu.

“Orang bahagian perubatan Islam, atau ada ilmu-ilmu batin dia tengok Bonda Rozita tu dia tahu. Mak Aliff Syukri tu korang jangan obses. Disebabkan makan produk dia, magik semua menjadi jangan macam itu,” dakwa individu itu.

Bukan itu sahaja, individu tersebut berpendapat tidak menjadi satu masalah orang ramai mahu amalkan jamu asalkan yakin selamat terhadap kesihatan.

“Sebab muka dia cantik, kekal menawan walaupun dah tua tu bukan sebab produk semata-mata. Faham tak? Nak pakai jamu apa pun pakai lah, yang penting selamat.

“Dia kena ada amalan, sanggup beramal ilmu-ilmu khurafat dan hitam. Segelintir perempuan orang lama ni banyak pakai susuk, jadi macam-macam orang ni,” tambahnya lagi.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen kecam tindakan individu tersebut yang menyebarkan khabar angin tidak sahih malah, ada segelintir pengguna akui keberkesanan produk kesihatan yang dihasilkan oleh Bonda Rozita.

Dalam pada itu, ramai menggesa Bonda Rozita yang juga merupakan ibu kepada Aliff Syukri untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan yang secara tidak langsung telah mencemarkan nama baik usahawan terbabit.