“Suka cuti, taknak OT” – Lelaki China beri 5 sebab kenapa enggan ambil pekerja Melayu
“Suka cuti, taknak OT” – Lelaki China beri 5 sebab kenapa enggan ambil pekerja Melayu
Sebuah video di platform X menjadi perhatian ramai selepas seorang lelaki dipercayai warganegara China di Malaysia menyatakan sebab dia tidak mahu mengambil pekerja Melayu.
Dalam video itu, lelaki tersebut mendakwa pekerja Melayu kerap mengambil cuti dengan alasan seperti ahli keluarga meninggal dunia, sakit, atau terlibat dalam kemalangan. Dia juga menyatakan hasil kerja pekerja Melayu sering tidak memuaskan walaupun mereka mengikut arahan.
“Ramai usahawan dari China menghadapi masalah yang sama apabila mencari pekerja. Di Malaysia, ia jauh lebih sukar berbanding di negara mereka. Namun, jika anda mengambil pekerja Melayu, bersiaplah untuk pengalaman yang berbeza.
“Pertama, pekerja Melayu suka mengambil cuti. Jumlah cuti yang mereka minta kadang-kadang di luar jangkaan. Alasan mereka pula kadang-kadang tidak masuk akal, seperti “Ibu saya, datuk, nenek, makcik, pakcik meninggal dunia, haiwan peliharaan saya sakit, saya sakit, atau kemalangan.
“Kedua, mereka akan mengikut arahan anda, tetapi hasil kerja selalunya tidak memuaskan. Anda akan rasa putus asa!” katanya.
Lelaki itu turut mengatakan pekerja Melayu jarang mahu bekerja lebih masa (OT) dan mendakwa mereka sukar mengurus kewangan kerana selalu menghabiskan gaji untuk berseronok sehingga kerap meminta pendahuluan.
“Ketiga, mereka tidak suka bekerja lebih masa (OT). Jangan harap mereka akan buat OT, seumur hidup pun tidak akan berlaku.
“Keempat, pengurusan kewangan mereka lemah. Mereka akan membelanjakan gaji mereka dengan segera, hingga sering tiada wang. Akhirnya, mereka selalu meminta gaji lebih awal.”
Selain itu, dia menyebut waktu solat Jumaat menyebabkan pekerja Melayu tiada sepanjang petang Jumaat.
“Akhir sekali, atas sebab keagamaan, setiap hari Jumaat mereka perlu ke masjid untuk solat, yang bermakna sepanjang petang Jumaat mereka akan tiada. Malaysia memang “seronok,” bukan?” ujarnya.
Video tersebut menerima pelbagai reaksi daripada pengguna X.
“Kalau tak suka, buatlah bisnes kat China. Jangan nak salahkan orang tempatan,” komen seorang netizen bernama Manco.
Maya pula berkata, “Bos Cina saya pun tak bagi OT. Dia sendiri balik awal. Orang yang tak ada life je fikir kerja 24 jam.”
Ada juga yang bersetuju tetapi mengingatkan supaya tidak menyalahkan semua pekerja Melayu.
“Betul ada yang macam dia kata, tapi tak semua. Bos pun kena tengok diri sendiri, ada bos lagi teruk,” tulis Bin Abu.
Video itu mencetuskan perdebatan hangat, dengan ramai menyifatkan kenyataan lelaki itu tidak adil dan tidak menghormati budaya tempatan.