Lelaki 91 tahun direkodkan individu tertua berkahwin pada tahun lalu
Lelaki 91 tahun direkodkan individu tertua berkahwin pada tahun lalu.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan lelaki paling tua direkodkan berkahwin pada 2023 berusia 91 tahun.
Perempuan paling berusia berkahwin pada tempoh yang sama adalah 86 tahun.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sebanyak 0.1 peratus pula pengantin lelaki berusia lebih 65 tahun mengahwini perempuan yang lebih muda dalam kumpulan usia 24 tahun dan ke bawah.
Menerusi penerbitan Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2024, menurutnya, bilangan perkahwinan yang direkodkan sepanjang 2023 mencatatkan penurunan dengan jumlah 188,100, menurun sebanyak 12.5 peratus berbanding 215,022 pada 2022.
Disebabkan itu katanya, kadar perkahwinan kasar (CMR) menurun daripada 6.6 peratus pada 2022 kepada 5.7 peratus untuk tahun lalu bagi setiap 1,000 penduduk.
Beliau berkata, statistik perkahwinan orang Islam menyumbang sebanyak 74.5 peratus daripada keseluruhan perkahwinan di negara ini.
“Penurunan bilangan perkahwinan itu disumbangkan sebanyak 16.8 peratus bilangan perkahwinan orang Islam pada 2023 (140,176) berbanding 2022 (168,467).
“Tiga negeri yang menunjukkan penurunan tertinggi perkahwinan orang Islam adalah Selangor (5,674 atau 17.4 peratus) diikuti Kelantan (3,595 atau 17.7 peratus) dan Johor (3,249 atau 15.8 peratus).
“Sebaliknya, bilangan perkahwinan orang bukan Islam merekodkan peningkatan 2.9 peratus daripada 46,555 (2022) kepada 47,924 (2023).
“Tiga negeri yang menunjukkan peningkatan perkahwinan orang bukan Islam adalah Johor (1,154 atau 20.1 peratus), Sarawak (920 atau 10.6 peratus) dan Kuala Lumpur (287 atau 8.2 peratus)” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut katanya, sebanyak 6.2 peratus daripada jumlah perkahwinan pada 2023 adalah antara pengantin lelaki dan perempuan yang berbeza kumpulan etnik.
“Bilangan perkahwinan antara etnik meningkat 28 peratus daripada 14,028 (2022) kepada 17,956.
“Komposisi perkahwinan antara etnik bagi orang Islam adalah 48.8 peratus, manakala orang bukan Islam 51.6 peratus,” katanya.
Mohd Uzir berkata, usia penengah pengantin lelaki dan pengantin perempuan masing-masing kekal pada 28 dan 26 tahun, manakala perkahwinan tertinggi juga direkodkan dalam kumpulan usia 25 hingga 29 tahun bagi kedua-duanya.
Sementara itu, katanya, bilangan perceraian juga menurun 8.7 peratus daripada 63,338 pada 2022 kepada 57,835 untuk 2023.
Menurutnya, disebabkan itu kadar perceraian kasar (CDR) semakin baik daripada 1.9 peratus pada 2022 kepada 1.8 peratus untuk 2023 bagi setiap 1,000 penduduk.
Beliau berkata, bilangan perceraian orang Islam mencatatkan penurunan 3.9 peratus pada 2023 (44,322) berbanding 2022 (46,138).
“Tiga negeri yang mencatatkan penurunan tertinggi bilangan perceraian orang Islam iaitu Kelantan (1,250 atau 28.7 peratus), Johor (790 atau 13 peratus) dan Sabah (756 atau 19.5 peratus).
“Sementara itu, perceraian orang bukan Islam turut menurun sebanyak 21.4 peratus daripada 17,200 (2022) kepada 13,513 (2023).
“Tiga negeri yang mencatatkan penurunan tertinggi bilangan perceraian orang bukan Islam adalah Selangor (832 atau 22.9 peratus) diikuti Johor (754 atau 26.4 peratus) dan Sarawak (512 atau 22.9 peratus),” katanya.
Mohd Uzir berkata, perceraian tertinggi yang direkodkan adalah pada kumpulan usia 30 hingga 34 tahun bagi lelaki dan perempuan.