Latihan bersama TLDM, Tentera Laut Jerman lakar sejarah baharu

Latihan bersama TLDM, Tentera Laut Jerman lakar sejarah baharu

 

Buat julung kalinya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Jerman (TLJ) mengadakan latihan menerusi pelaksanaan Passage Exercise (PASSEX) di perairan Selat Melaka, semalam.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM dalam satu kenyataan berkata, jalinan kerjasama pertahanan itu adalah teras pendekatan efektif yang sentiasa didukung dalam menyemarakkan hubungan baik sedia terjalin dengan semua negara sahabat.

Menurutnya, jalinan kerjasama itu diperkukuhkan TLDM menerusi pelaksanaan PASSEX bersama TLJ dengan objektif memperkasakan ‘interoperability’ melalui kaedah perkongsian idea dan kepakaran di lapangan.

“Kedua-dua angkatan laut mempamerkan komitmen dan kesefahaman yang jitu menerusi pembabitan tujuh aset TLDM iaitu Kapal Diraja (KD) Sri Inderasakti, KD Jebat, KD Lekir, KD Laksamana Hang Nadim, KD Gempita, KD Sundang dan helikopter Super Lynx.

“Turut terbabit menjayakan latihan adalah Fast Combat Boat TLDM, manakala TLJ pula memperagakan dua aset iaitu FGS Bayern dan helikopter Sea Lynx,” katanya di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, objektif latihan diterjemahkan melalui beberapa siri latihan di laut meliputi manuvra taktikal, pendaratan helikopter dan ‘sail past’.

“Kelangsungan latihan yang lancar tanpa sebarang insiden jelas menggambarkan sikap profesionalisme, keupayaan dan ketersediaan warga kedua-dua angkatan laut,” katanya.

Kenyataan itu berkata, terdahulu aset TLJ sedang melaksanakan misi penugasan pengawasan keselamatan maritim di sekitar perairan Indo-Pasifik bersama gabungan aset tentera laut sahabat dari Amerika Syarikat, Australia, Singapura, Jepun dan Korea Selatan.

Menurutnya, aset TLJ seterusnya dirancang melanjutkan pelayaran ke Sri Lanka dan India sebelum meneruskan pelayaran pulang ke negara asal pada Februari ini selepas selesai pelaksanaan misi pengawasan selama tempoh hampir enam bulan.

Katanya, selain komited terhadap keselamatan maritim dan kerjasama pertahanan negara rantau, TLDM akan terus memanfaatkan setiap peluang beroperasi bersama angkatan laut negara sahabat dalam memacu ketersediaan warga bagi melindungi dan mempertahankan kepentingan maritim negara pada setiap masa.