Lata Iskandar dan Lata Kinjang dilanda kepala air deras

Lata Iskandar dan Lata Kinjang dilanda kepala air deras

 

Fenomena kepala air besar berlaku di kawasan air terjun Lata Iskandar dan Lata Kinjang berdekatan Tapah, pada pagi Isnin.

Rakaman video insiden itu menjadi tular di media sosial, memperlihatkan aliran sungai yang deras dari puncak kawasan tersebut.

Di Lata Kinjang, arus yang kuat juga membawa bersama kayu dan batang pokok hingga merosakkan beberapa kemudahan yang tersedia di sana.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad menyatakan bahawa kejadian berlaku sekitar jam 9 pagi dan tidak ada mangsa yang terlibat.

Menurut beliau, arus deras itu berpunca daripada hujan lebat yang melanda Kawasan terbabit sejak malam Ahad.

“Anggota bomba telah ke lokasi bagi tujuan pemantauan.

“Tiada mangsa yang terlibat dan kejadian ini juga tidak mengakibatkan berlakunya banjir atau pemindahan penduduk,” katanya dalam kenyataan kepada pemberita pada Isnin.

Beliau mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada terutama ketika melakukan aktiviti rekreasi dan mandi di kawasan tersebut.

Kata beliau, kepala air boleh dikesan awal dengan melihat perubahan langit gelap, bunyi dentuman seperti gerakan batu, serta air yang berubah warna dan berbuih secara tiba-tiba.

“Apabila tanda-tanda ini dikesan, orang ramai perlu memastikan diri dan keluarga meninggalkan kawasan tersebut dengan serta merta,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi memaklumkan bahawa tiada laporan bencana atau kemalangan jiwa yang diterima berkaitan dengan kejadian terbabit.

“Begitupun orang ramai perlu sentiasa peka dengan amaran cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi memandangkan keadaan hujan yang tidak menentu,” katanya.