“Lantang bersuara isu Palestin” – Presiden NGO ditahan bersama ahli wanita, disyaki berkhalwat di hotel
Baru-baru ini, seorang presiden pertubuhan amal (NGO) ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kerana disyaki berkhalwat selepas berdua-duaan dengan seorang wanita di bilik hotel di ibu negara.
Menurut laporan Harian Metro, pihak berkuasa mengesahkan lelaki tersebut berusia 40-an dan sudah berkahwin serta mempunyai anak, dia juga sangat aktif dalam mengutip derma bagi mengisi tabung Palestin menerusi pertubuhan miliknya, antara enam ke lapan tahun lalu.
“Dia ditahan sepasukan pegawai Jawi ketika sedang berdua-duaan dengan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30-an.
Wanita terbabit yang juga ahli aktif NGO sama dilihat terlebih dahulu mendaftar masuk ke hotel berkenaan, sebelum lelaki tiba kira-kira 2 petang.
Pasukan penguat kuasa Jawi pula masuk membuat pemeriksaan di bilik terbabit pada 4.45 petang,” katanya.
Difahamkan, ketika pemeriksaan, lelaki berkenaan cuba melarikan diri dan memberikan alasan bertemu wanita itu untuk memberi barang kepadanya namun cubaannya gagal dan ditahan pegawai Jawi.
Dalam pada itu, lelaki berkenaan dikatakan pernah berkongsi pentas forum berhubung konflik di Palestin bersama seorang duta dari negara di Timur Tengah serta sangat lantang bersuara di media sosial berhubung isu peperangan Palestin-Israel.