Peniaga laksa guna cacing tanah kering sebagai penambah rasa

Peniaga laksa guna cacing tanah kering sebagai penambah rasa

 

Peniaga laksa guna cacing tanah kering sebagai penambah rasa

Buat mereka yang berada dalam dunia perniagaan dan F&B sudah tentu anda mementingkan kualiti dan kelazatan makanan anda. Bukan itu sahaja, ramai juga di kalangan peniaga mahu menghasilkan menu yang unik serta kreatif.

Ini adalah untuk menarik lebih ramai pelanggan ke premis makanan anda. Mana tidaknya, sekarang ini sudah menjadi satu trend di mana orang ramai ‘hunting’ makanan-makanan pelik.

Sebagai contoh Pretty’s Hot Chicken telah tampil dengan menu unik digelar sebagai The Pretty’s Claw iaitu hidangan burger kaki ayam.

Seorang peniaga turut menghasilkan menu luar biasa yang lain daripada lain iaitu hidangan laksa dengan campuran cacing tanah kering. Untuk pengetahuan semua, cacing tanah itu dikeringkan terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam makanan tersebut.

Peniaga bernama Zac Choy, 54 telah membuka premis makanan yang dikenali sebagai Nanyang Spice itu di pusat membeli-belah Sim Lim Square, Singapura.

Memetik portal Mothership, hidangan tersebut dijual sebagai ramuan perubatan tradisional Cina yang dipanggil sebagai ‘di long’. Menurut jurnal sains, cacing tanah telah lama menjadi makanan manusia kerana sifat perubatannya, lapor Kosmo.

Laksa itu pada asalnya merupakan resepi daripada ibu Choy. Namun peniaga tersebut telah membuat keputusan untuk ‘menambah baiknya’ dengan memasukkan cacing tanah kering ke dalam hidangan.

“Ibu saya pernah menjual laksa di Melaka. Dia menyerahkan resipi itu kepada saya dan meminta saya menambah baik. Ketika proses itu, saya mencuba produk siap dan merasakan bahawa ia tidak cukup enak, seolah-olah ia kehilangan beberapa bahan utama.
“Atas cadangan ibu, saya menambah cacing tanah kering ke dalam kuah untuk menjadikannya lebih segar dan lazat.
“Saya secara perlahan-lahan mempunyai pelanggan tetap dan memberitahu mereka perkara sebenar. Walaupun terkejut, mereka tidak terlalu peduli kerana menyukai rasa laksa itu,” kata Choy.

Memetik Mothership, cacing tanah tersebut dikatakan tidak memberi impak yang besar kepada rasa laksa itu, namun menurut Choy ia membuatkan santan dalam kuah tahan lebih lama sebelum ia jadi basi.

Kalau anda nak tahu, hidangan ini mendapat sambutan baik yang mana sebanyak 30 ke 60 mangkuk laksa terjual dalam masa sehari.

Choy membelanjakan kira-kira S$300 (kira-kira RM992.94) sebulan untuk mendapatkan cacing tanah kering, yang dijual tanpa sebarang organ dalaman. Cacing berkenaan adalah panjang dan menyerupai rupa sotong kering.