“Ia paling suka makan nasi” – Kura-kura misteri, hanya muncul depan rumah menjelang Ramadan

“Ia paling suka makan nasi” – Kura-kura misteri, hanya muncul depan rumah menjelang Ramadan

 

“Ia paling suka makan nasi” – Kura-kura misteri, hanya muncul depan rumah menjelang Ramadan

“Saya baru bersembang dengan suami kerana teringatkannya (kura-kura) dan tak sangka ia muncul di depan rumah tak lama selepas itu,” ujar Cik Orked, 44, berhubung seekor kura-kura yang dianggap istimewa kerana hanya muncul menjelang kedatangan Ramadan.

Kisah pertemuan semula dengan ‘tetamu’ istimewa itu dikongsikan di TikTok hingga mendapat perhatian warganet yang menganggap kura-kura berkenaan istimewa dan kemungkinan asbab pembawa rezeki.

Berkongsi kisah itu, Cik Orked yang menetap di Tanah Merah, di sini berkata, kura-kura itu ditemuinya sejak lebih 10 tahun lalu ketika dia tinggal di rumah lamanya hingga berpindah ke kediaman baru.

“Tapi yang peliknya, kura-kura itu hanya muncul bila nak masuk bulan puasa pada sebelah malam. Pada siang hari kura-kura ini tidak kelihatan.

“Keadaannya macam biasa dan setiap kali datang, saya dengan suami akan beri makan nasi kerana itu yang paling disukainya cuma tak singgah lama, dalam 20 ke 30 minit sebelum berlalu pergi.

Menurut Cik Orked, dia sangat gembira kerana dapat bertemu semula dengan kura-kura itu kerana sudah lama menanti kedatangannya selepas setahun tidak melihat kelibat haiwan berkenaan.

“Ia kura-kura liar dan saya tidak memeliharanya kerana mahu repltilia itu hidup bebas di luar.

“Tapi saya selalu doakannya panjang umur dan pandai jaga diri di luar malah sempat pesan datang lagi nanti bila lapar.

“Niat saya kongsi video di TikTok adalah untuk simpan buat kenangan tapi tak sangka akan tular…banyak juga komen mencuit hati dan paling buat saya gembira apabila ramai mendoakan saya sekeluarga,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Cik Orked berharap, mereka yang menonton dapat melihat perkongsiannya daripada sudut positif.

“Kita kena berbuat baik sesama makhluk kerana menumpang di bumi yang sama.

“Saya pun bersyukur dengan kehidupan yang lebih baik berbanding dulu dan rezeki paling berharga pernah saya dapat adalah peluang berbakti kepada orang tua,” katanya.