Koperal polis tewaskan 350 peserta

Koperal polis tewaskan 350 peserta

 

Tiga puluh minit sebelum wisel penamat ditiupkan benar-benar tempoh bertuah buat koperal polis apabila menaikkan ikan talang seberat 1.755 kilogram (kg).

Mohd Jamil Zainudin, 54, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam dinobatkan juara #TravelPeraklah Surfcasting Challenge@Pulau Pangkor yang berlangsung di pantai Pasir Bogak di sini, semalam.

Mohd Jamil berkata, kemenangan itu yang pertama buatnya selepas menyertai 80 pertandingan memancing di seluruh semenanjung sejak empat tahun lalu.

“Saya teruja dan bersyukur kerana pada mulanya rasa seperti tiada harapan untuk menang tetapi siapa sangka rezeki datang 30 minit sebelum pertandingan tamat.

“Saya sudah meminta anak ke jeti mencari tiket pulang tetapi kami batalkan kerana ikan masuk ‘ranking’. Sebelum itu, saya mengambil masa 10 minit untuk menaikkan ikan ke darat kerana ia agak agresif,” katanya ketika ditemui di lokasi pertandingan.

Memetik Harian Metro, Mohd Jamil membawa pulang RM20,000 selepas menewaskan 350 peserta lain.

Tempat kedua dimenangi Mohd Kamalazuan yang menerima RM5,000 dan tempat ketiga Jefri Mansur (RM3,000).