Kilang proses sarung tangan dikompaun RM25,000
Sebuah kilang memproses sarung tangan di Kawasan Perindustrian Taiping, di sini, dikompaun RM25,000 dan diarahkan tutup serta-merta mulai hari ini kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, sepasukan anggota Task Force Pematuhan SOP PKP bersama Unit Penguatkuasa Pejabat Kesihatan Daerah Taiping membuat pemeriksaan di premis itu kira-kira 10 pagi tadi.
“Siasatan mendapati premis itu beroperasi dengan kapasiti kehadiran pekerja melebihi 60 peratus sekali gus ingkar SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Pemilik premis juga mengemukakan maklumat tidak tepat mengenai kontak rapat dan maklumat lokasi jangkitan sebenar kepada pihak berkuasa kesihatan,” katanya.
Menurutnya, premis terbabit dikenakan kompaun RM25,000 dan diarahkan ditutup bermula hari ini sehingga 27 Jun depan.
Katanya, tindakan diambil mengikut Seksyen 18(1)(f) Akta 342 dan Seksyen 22(b) Akta 342.
Sumber: Harian Metro