“Lepas habis banjir bayarlah, kita percaya…” – Mydin benarkan Khairul Aming ambil barang bantu mangsa banjir

“Lepas habis banjir bayarlah, kita percaya…” – Mydin benarkan Khairul Aming ambil barang bantu mangsa banjir

 

“Lepas habis banjir bayarlah, kita percaya…” – Mydin benarkan Khairul Aming ambil barang bantu mangsa banjir

Pemborong dan peruncit halal terbesar tempatan, Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) memberi kemudahan kepada pempengaruh dan usahawan popular, Khairul Aming untuk mendapatkan stok di premis miliknya untuk disalurkan kepada mangsa banjir.

Menerusi video yang tular di laman sosial, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin menyatakan pempengaruh itu boleh mengambil seberapa banyak stok barangan yang diperlukannya tanpa menjelaskan apa-apa bayaran sehinggalah tragedi banjir pulih.

Katanya, beliau memberi kepercayaan penuh kepada Khairul Aming dalam usaha membantu mereka yang memerlukan terutama di kawasan yang dikunjungi pempengaruh itu untuk tujuan agihan dan penyaluran bantuan.

“Ambil seberapa banyak awak nak dan tak perlu hantar budak atau kad kredit atau apa-apa… cuma beritahu had kredit yang nak RM20,000, RM50,000 atau RM100,000 ke.
“Lepas habis banjir tu awak bayar, tiada masalah. Kita percaya Khairul Aming,” katanya dalam video berdurasi 56 saat itu.

Dalam video itu, Ameer turut memberitahu Mydin akan memberikan 5,000 lagi barang sebagai tambahan kepada pempengaruh itu dalam usaha membantu mangsa banjir.

Ameer turut memberitahu Khairul Aming supaya meneruskan usaha murni itu dengan sebaiknya.

Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman memulakan misi membantu mangsa banjir di Kelantan sejak Sabtu lalu.

Pempengaruh itu bersama kakitangannya menyediakan makanan dan barangan keperluan kepada mangsa banjir sebelum mengagihkannya kepada mereka.

Terdahulu, Khairul Aming turut memaklumkan walaupun ramai meminta nombor akaun untuk menderma, dia memaklumkan tiada permit untuk berbuat demikian selain bimbang terlepas pandang amanah orang ramai itu.