Kerajaan Perak tidak teragak-agak batal bazar Ramadan jika abai SOP
Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak membatalkan penganjuran bazar Ramadan di negeri ini , jika keadaan tidak terkawal dan prosedur operasi standard (SOP) gagal dipatuhi.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi, ini berikutan pihaknya melihat tahap pematuhan SOP di beberapa lokasi tertentu yang dilihat masih rendah dan tidak memuaskan.
“Semua pengurusaan SOP ada dikendalikan di pintu masuk tetapi kita mendapati ramai antara pengunjung yang tidak patuh.
“Kita memberi amaran keras dan mengingatkan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), ahli penguatkuasa PBT dan persatuan yang menganjurkan bazar di kawasan tertentu secara persendirian untuk memastikan kepatuhan ini dicapai dan diteruskan sepanjang Ramadan,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Perpustakaan Komuniti PPR Pangsapuri Seri Kepayang di sini hari ini.
Nolee Ashilin berkata, bagaimanapun kerajaan negeri setakat ini masih belum lagi berhasrat membatalkan penganjuran bazar Ramadan di negeri ini.
“Kita masih belum ada niat untuk membatalkan bazar, namun sekiranya keadaan ini masih tidak terkawal dan mendapat aduan lebih daripada itu mungkin kita akan mempertimbangkan.
“Pada ketika ini, kita mendapat aduan untuk lokasi tertentu yang tidak mematuhi SOP, jadi kita mahu minimumkan aduan ini kerana kita tidak mahu akhirnya nanti angka (positif COVID-19) itu naik disebabkan kluster bazar Ramadan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kompaun akan dikenakan terhadap mereka yang tetap berdegil dan tidak mahu mematuhi SOP ketika berada di bazar Ramadan.
“Kita ada beberapa agensi yang boleh kompaun termasuk PBT dan polis, mereka akan memainkan peranan untuk memberi amaran awal sebelum kompaun.
“Jadi, kita meminta pengunjung lebih bertanggungjawab dan kita perlu memainkan peranan masing-masing bukan sahaja daripada pihak berkuasa tetapi komuniti sendiri,” katanya. – BH