“Kenyataan saya buatkan peminat bola sepak Perak marah,” kata Sham Mat Sahat

“Kenyataan saya buatkan peminat bola sepak Perak marah,” kata Sham Mat Sahat

“KENYATAAN saya buatkan peminat bola sepak Perak marah. Jika saya silap, saya mohon maaf,” kata Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Datuk Sham Mat Sahat berhubung kenyataannya bahawa pasukan hanya memberikan keutamaan kepada pemain yang ada ‘jiwa’ dan mahu berjuang bersama skuad Bos Gaurus.

Menurutnya, perkara yang dinyatakan itu lebih membawa maksud bahawa setiap pemain hendaklah mempunyai jiwa dan semangat sayangkan pasukan Perak.

“Kenyataan mengatakan bahawa saya hanya minta pemain punya jiwa (kekal berada dalam pasukan Perak) telah membuatkan peminat dan orang ramai marah kepada saya. Jadi jika benar saya silap, saya mohon maaf,” katanya dalam satu kiriman pesanan suara kepada pemberita, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dua pemain tonggak Bos Gaurus, Shahrul Saad dan Guilherme De Paula yang menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pada 8 Mei lepas, Sham yang juga Bendahari Persatuan Bola sepak Perak (PAFA) mengadakan perjumpaan dengan pemain-pemain di Stadium Perak di sini bagi mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut yang berlaku termasuk isu tunggakan gaji.

Katanya, tumpuan dalam pertemuan itu adalah untuk menyelesaikan bayaran gaji kepada semua pemain.

“Dalam pertemuan itu juga, saya mengatakan bahawa pemain-pemain yang nak berhijrah, kita tiada sebarang halangan,” katanya.

Dilaporkan bahawa kenyataan berhubung perkara itu telah menggores hati beberapa tonggak utama pasukan Perak termasuk penyokong tegar Kejor Yob Kejor.

Untuk rekod, setakat ini selain Shahrul Saad dan De Paula menyertai JDT, Perak turut menyaksikan perpindahan pemain Kenny Pallraj dan J Partiban untuk bersama KL City FC. – SH