Kematian pengawal keselamatan kini diklasifikasi sebagai bunuh

Polis mengklasifikasikan semula kes kematian seorang pengawal keselamatan yang diserang ketika bertugas di kolam renang satu kondominium, Disember lalu, sebagai pembunuhan.
Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis merujuk kes itu kepada pejabat pendakwa raya hari ini dengan mencadangkan tuduhan lebih tegas terhadap suspek.
“Polis mengklasifikasikan semula kes itu sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, pada hari kematian mangsa.
“Kami masih menanti arahan lanjut pendakwa raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mior Faridalathrash berkata, polis pada mulanya menyiasat kes itu mengikut Seksyen 326 kanun sama dan suspek didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh kerana menyebabkan kecederaan terhadap mangsa. Kes itu sepatutnya disebut semula pada 9 September ini.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati kerana mangsa menghalang anaknya menggunakan kolam renang itu, yang ditutup untuk kegunaan awam pada masa berkenaan.
Tambahnya, pengawal keselamatan itu meninggal dunia pada Jumaat lalu dan laporan bedah siasat menunjukkan punca kematian adalah akibat sepsis paru-paru.
Sumber: FMT