Kantoi! Penjawat awam bersama 11 wanita ditahan di rumah sewa
Seorang penjawat awam bersama 11 wanita warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 dalam pemeriksaan ke atas dua rumah sewa di Lorong Galing, Taman Imbi di sini pada Ahad.
Lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu didapati tinggal bersama dan disyaki terlibat melindungi wanita tersebut.
Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Pahang dalam satu kenyataan berkata, wanita warga asing tersebut didapati melakukan beberapa kesalahan termasuk masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas perjalanan sah serta tinggal lebih masa.
Menurut kenyataan itu, siasatan mendapati, dua rumah sewa itu dijadikan tempat tinggal wanita tersebut yang dipercayai turut terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.
“Kegiatan tersebut berjaya dibongkar dalam pemeriksaan Ops Patuh di kawasan tersebut yang disertai 21 pegawai penguat kuasa Imigresen Pahang diketuai Ketua Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Jeffri Nasir.
“Dalam pemeriksaan bermula jam 5 petang hingga 7.30 malam itu turut menemui minuman keras di ruang tamu rumah berkenaan,” kata kenyataan itu pada Selasa.
Jelas kenyataan itu, semua wanita warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Kemayan untuk tujuan siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.
“Penjawat awam itu pula disiasat di bawah Seksyen 56(1)(d) akta yang sama kerana sengaja memberi perlindungan kepada orang yang diketahui melanggar peruntukan Akta Imigresen1959/1963,” katanya.
Sumber: Sinar Harian