“Kami okay, cuma tiada masa tunjuk kemesraan” – Spekulasi rumah tangga bergolak, Fazura akhirnya bersuara
“Saya dan Fattah, okay.”
Demikian kata pelakon, Nur Fazura ketika ditanya mengenai spekulasi berkaitan hubungan rumah tangganya dengan suami yang juga pelakon, Fattah Amin.
Fazura, 40, ketika ditemui di Majlis Pelancaran Rasmi Koleksi Merdeka 2024 Prospec KPM X Fazura berkata, dia juga terkejut mengenai kewujudan khabar angin itu.
“Sebenarnya, saya tak tahu hujung pangkal daripada mana cerita ini bermula. Ada kawan-kawan mesej saya tanya hubungan dengan Fattah okey atau tak.
“Saya faham peminat nak ambil berat sebab dah lama tak nampak kami bersama,” katanya.
Menurutnya, dia memilih untuk mengehadkan hantaran berkaitan keluarga dan kebahagiaan di media sosial kerana terkesan dengan apa yang berlaku di Palestin.
“Secara jujur saya memang hadkan hantaran di media sosial. Saya terkesan melihat mereka di Palestin.
“Jadi saya rasa tak sesuai untuk tunjukkan kemesraan bersama keluarga di media sosial. Saya tak nak tunjuk kebahagiaan bersama anak dan suami.
“Saya ada satu lagi akaun ‘private’. Di situ pengikut yang ada boleh lihat foto kami bersama selain perkembangan kami. Kalau ada spekulasi macam itu memang tak betul.
“Kami sangat sibuk dan jarang jumpa. Fattah keluar pagi balik malam. Tak ada masa nak tunjuk kemesraan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial spekulasi mengenai pergolakan dalam rumah tangga pasangan selebriti itu.