Kalau Shahidan jadi PM, Piala Dunia dalam tangan?

Kalau Shahidan jadi PM, Piala Dunia dalam tangan?

 

Dunia Twitter kecoh seketika dengan kenyataan seorang netizen yang memperkatakan mengenai Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan kemenangan Kuala Lumpur City (KL City) mendakap Piala Malaysia, kelmarin.

Menurut netizen tersebut, dia berasa bangga kerana Shahidan yang baharu sahaja dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, terus KL City menang Piala Malaysia.

“Bayang kalau lantik dia (Shahidan) jadi PM (Perdana Menteri)? Piala Dunia dalam tangan,” jelasnya.

Menurut Utusan, kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi termasuk ramai yang mengimbau zaman pentadbiran Shahidan ketika menjadi Menteri Besar yang berjaya membawa kegemilangan Perlis menjuarai Piala Malaysia 2004.

Semalam, kerajaan bersetuju memberikan Hari Kelepasan Am Tambahan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada Jumaat ini.

Perkara itu diumumkan Shahidan sempena pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) menjuarai Final TM Piala Malaysia 2021.

Menurut beliau, kemenangan semalam adalah pencapaian terbaik buat KL City FC setelah 32 tahun penantian untuk menjuarai Piala Malaysia yang mana kali terakhir kemenangan pada tahun 1989.