“Makcik ikat perut 15 tahun, makan nasi dengan bawang untuk ke Tanah Suci” – Jemaah umrah terkandas

“Makcik ikat perut 15 tahun, makan nasi dengan bawang untuk ke Tanah Suci” – Jemaah umrah terkandas

 

“Makcik ikat perut 15 tahun, makan nasi dengan bawang untuk ke Tanah Suci” – Jemaah umrah terkandas

Seorang warga emas dedah ikat perut 15 tahun demi ke Tanah Suci namun impian berkenaan nampaknya belum tercapai lagi apabila menjadi salah seorang jemaah umrah yang terkandas disebabkan syarikat pengendali umrah gagal menunaikan janji  menerbangkan kumpulan berkenaan ke sana hari ini.

Memetik laporan dari Kosmo! Maimun Sarajul, 60 yang juga seorang ibu tunggal memaklumkan dirinya telah menyimpan duit bantuan Baitulmal sejak 2009 bagi menunaikan ibadah umrah bersama dua orang anak serta seorang cucu Orang Kelainan Upaya (OKU).

Jelasnya, dia mula menyimpan sejak 15 tahun lalu dan bersemangat untuk membawa cucunya ke sana serta telah membayar harga sewaan untuk kerusi roda bagi digunakan sepanjang tempoh mengerjakan umrah.

“Mak cik ikat perut lebih 15 tahun, hanya makan nasi dengan bawang, kadang-kadang air garam untuk simpan duit bantuan Baitulmal ke Tanah Suci”

“Mak cik mula menyimpan ketika menerima bantuan Baitulmal berjumlah RM400 sejak 15 tahun lalu, apabila bantuan dinaikkan kepada RM500, mak cik tetap menyimpan untuk ke Mekah.

“Harapan mak cik ialah mahu membawa cucu yang juga OKU untuk ke Tanah Suci, dia juga sudah bersemangat, malah duit untuk menyewa kerusi roda berjumlah RM800 sudah dibayar,” katanya.

Tambah Maimun lagi, dia dia mengetahui tentang pakej umrah yang ditawarkan syarikat tersebut melalui promosi yang dibuat seorang usahawan kosmetik dari Kelantan menerusi aplikasi Tiktok.

“Sebelum ini, mak cik ada bertanya kepada seorang ustaz tentang pakej umrah, namun harga ditawarkan sedikit mahal.

“Jadi, selepas mak cik melihat Tiktok milik usahawan kosmetik itu, dia mempromosikan pakej berjumlah RM11,000 untuk dua orang dan terus berminat dengan tawaran itu,” jelasnya.

Jelasnya, dia telah membuat bayaran sebanyak RM33,000 untuk enam orang termasuklan cucu yang merupakan OKU.

Selain Maimun, terdapat 314 jemaah termasuk dari Brunei dan Korea Selatan turut terkandas selepas penyedia perkhidmatan umrah gagal menyediakan tiket penerbangan, visa dan hotel di Tanah Suci sehingga mengakibatkan kerugian lebih RM2.1 juta.

Setakat ini, hanya beberapa sahaja yang baru mendapat semula pembayaran yang telah dibuat.