“Dah setahun buat IVF..” – Janna Nick menangis rayu henti tanya soal zuriat, kongsi perjalanan ‘TTC’

“Dah setahun buat IVF..” – Janna Nick menangis rayu henti tanya soal zuriat, kongsi perjalanan ‘TTC’

 

“Dah setahun buat IVF..” – Janna Nick menangis rayu henti tanya soal zuriat, kongsi perjalanan ‘TTC’.

Pelakon dan pengacara, Janna Nick menangis rayu henti tanya berkaitan zuriat kepada dirinya kerana sudah telah mencuba pelbagai kaedah sepanjang perkahwinan bersama aktor, Dini Schatzmann.

Janna atau nama penuhnya Nurul Jannah Muner meluahkan rasa sedih dan tidak dapat menerima komen nista dilemparkan individu yang menuduh suaminya mempunyai hormon wanita lebih.

Ia secara tidak langsung menjadi punca pasangan selebriti itu masih belum dikurniakan rezeki zuriat sehingga kini.

Janna berkata, dia dan suami telah melakukan pelbagai kaedah untuk mendapatkan zuriat termasuk menjalani rawatan pensenyawaan in vitro (IVF) dan pemeriksaan kesihatan bersama pasangan.

“Kami dah buat macam-macam yang terbaik untuk dapatkan anak. Bila orang tanya saya bila nak ada anak, saya pun tak tahu nak jawab apa. Saya pun tanya kepada Allah bila saya boleh dapat anak.

“Macam-macam ujian kami dah buat dan bulan 10 genap setahun saya buat rawatan IVF tapi gagal.

“Saya dan Dini tahu keadaan kesihatan kami. Saya pun kurangkan kerja dan tak ambil kerja yang makan masa yang panjang sebab saya nak ubah cara hidup, kerja dan pemakanan,” katanya sambil menangis.

Dalam pada itu, dia juga meminta orang ramai agar berhenti bertanya perihal zuriat termasuk memberi komen negatif terhadap mereka.

Dedah aktres berusia 29 tahun, dia juga pernah meminta penyanyi, Nabila Razali untuk memijak jari kakinya yang dikatakan sebagai salah satu petua mendapatkan anak.

“Orang beri saya petua suruh ibu mengandung pijak jari kaki, ya saya ada suruh Nabila Razali pijak jari kaki saya. Saya sangat terdesak nak anak.

“Nak dapatkan anak ni, adalah kerja Allah dan bukan kerja kita,” luahnya.

Sebelum ini, Janna pernah meluahkan rasa sedih dan tertekan apabila hasratnya untuk hamil belum kesampaian selepas membuat ujian kehamilan.

Kongsinya lagi, dia juga sudah ambil pelbagai jenis vitamin dan suplemen sehingga muka naik jerawat besar. Setiap bulan, fikirannya akan bercelaru kerana setiap perkara dirasakan seperti simptom hamil.

Sekadar info, Janna dan Dini telah mendirikan rumah tangga di sebuah resort mewah di Pantai Chenang Langkawi pada 10 Jun lalu.

Bagaimanapun, sehingga kini rumah tangga mereka masih belum dikurniakan rezeki zuriat.