“Jangan fikir tak mahu cerai sebab kesian anak, mungkin kamu yang tak boleh hidup tanpa lelaki” – Rita Rudaini

“Jangan fikir tak mahu cerai sebab kesian anak, mungkin kamu yang tak boleh hidup tanpa lelaki” – Rita Rudaini

 

Pelakon Rita Rudaini menitipkan kata-kata semangat buat pelakon dan penyanyi, Bella Astillah yang melalui episod hitam dalam keruntuhan mahligai, baru-baru ini.

Menurut laporan Xtra, pelakon yang berusia 48 tahun itu mendedahkan Bella pernah bertemu dengannya ketika program Melodi Raya 2024 kerana mahu mendapatkan nasihat untuk terus kuat dalam kehidupan.

“Saya tak rapat dengan dia (Bella), cuma saya mengikuti kisahnya yang sudah banyak kali terkena sampai saya jadi letih. Jadi, saya minta untuk beritahu Bella supaya sudahlah.

“Kemudian, saya jumpa Bella semasa program Melodi Raya 2024 dan dia juga memang ada niat hendak jumpa saya. Dia kata sebab hendak ambil kekuatan dan tanya bagaimana saya boleh kuat.

“Saya cakap senang sahaja, kalau hendak kuat tengok anak. Awak hidup untuk siapa? Untuk jaga suami atau jaga anak? Selepas itu, bila tengok sekarang Bella sudah nampak semakin kuat,” katanya.

Rita atau nama lengkapnya Rita Rudaini Mokhtar tidak pernah menggalakkan penceraian namun, seseorang perlu memilih jalan yang terbaik untuk keluarga.

“Saya bukanlah mahu meraikan atau menggalakkan perceraian, tapi sebagai sahabat industri saya lihat apa yang dia lalui sangat tragis dan sudah banyak kali sudah terkena.

“Ramai orang cakap supaya kesian dekat anak kalau bercerai dan saya paling tak suka itu. Sebenarnya itu salah, kalau betul kesian kepada anak, bawa dia keluar daripada lingkungan toksik.

“Jangan fikir tak mahu cerai sebab kesian kepada anak, kalau macam itu mungkin kamu yang tak boleh hidup tanpa lelaki. Kita wanita perlu kuat,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, ibu kepada dua cahaya mata itu pernah memberikan kata-kata semangat kepada Bella menerusi laman Instagramnya.

Sekadar info, Rita pernah berkahwin dengan  pemain bola sepak, Aidil Zafuan Abd Radzak pada 2008. Bagaimanapun, mereka disahkan bercerai pada Septermber 2013.

Bella dan Aliff Aziz pula disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 13 Jun lalu.