“Dah tunggu lama sejak 2008 lagi” – Jalil Hamid terkilan kesihatan tak mengizinkan kerjakan haji
“Dah tunggu lama sejak 2008 lagi” – Jalil Hamid terkilan kesihatan tak mengizinkan kerjakan haji
Pelakon veteran, Jalil Hamid terpaksa reda melepaskan peluang mengerjakan ibadah Haji tahun ini apabila kesihatannya tidak mengizinkan.
Menyimpan niat mengerjakan ibadah haji sejak 2008, Jalil berkata, dia menerima panggilan Tabung Haji, bagaimanapun terpaksa melepaskannya berikutan masalah jantung dihidapi.
“Jujurnya, saya kecewa sebab harapan mengerjakan haji tahun ini terpaksa dilepaskan kerana jantung belum pulih sepenuhnya. Lagi pun syarat ditetapkan Tabung Haji tidak sesuai dengan keadaan jantung saya.
“Kalau nak pergi buat haji, peratusan kesihatan jantung sekurang-kurangnya perlu melepasi 35 peratus, tapi jantung saya hanya capai tahap 24 peratus.
“Itu yang saya kecewa sebab saya sudah tunggu lama sejak 2008 lagi. Memang saya nak pergi sangat.
“Tapi, kriteria Tabung Haji perlulah ikutlah. Ini pula kali pertama dapat panggilan mengerjakan haji. Saya sudah beberapa kali menunaikan umrah, jadi sangat berharap dapat pergi haji pula,” katanya ketika ditemui ketika menjadi artis jemputan Anugerah Carta 114.
Mengulas lanjut, pelakon versatil yang sudah menginjak usia 67 tahun itu berharap akan diberikan peluang membuat rayuan apabila keadaan jantungnya sudah mengizinkan.
Jalil berkata, dia melepaskan isterinya untuk menunaikan ibadah haji bersendirian.
“Tabung Haji menawarkan tawaran untuk saya dan isteri. Walaupun saya tak pergi, saya izinkan isteri mengerjakan haji. Sebab ini adalah jemputan Allah untuknya.
“Saya tak berupaya, biarlah dia yang pergi. Kalau rolak, rugi buatnya sebab tiada sebab untuknya tidak pergi,” katanya.
Berkongsi tahap kesihatannya, bintang filem Bisik Pada Langit itu berkata, dia masih berupaya untuk berlakon.
“Makin berusia, kita berdepan dengan banyak perkara, tapi Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya beransur pulih selepas tiga tahun.
“Kalau nak diikutkan, saya sudah mula rasa sihat. Sebab itulah saya sudah boleh mula bekerja, tapi apabila diperiksa secara terperinci, jantung masih belum sembuh sepenuhnya.
“Saya tetap boleh buat kerja dan ada juga tawaran berlakon terutamanya bila hampir Aidilfitri,” katanya.