Pulau Pinang namakan semula Lebuhraya Bandar Cassia kepada Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi

Pulau Pinang namakan semula Lebuhraya Bandar Cassia kepada Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi

 

Pulau Pinang namakan semula Lebuhraya Bandar Cassia kepada Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi

Kerajaan Pulau Pinang menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan legasi Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan menamakan semula Lebuhraya Bandar Cassia kepada Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu dipersetujui sebulat suara dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang diadakan pada Rabu.

Menurutnya, sebagai tanda penghormatan terakhir, kerajaan negeri turut mengarahkan bendera negeri dikibarkan separuh tiang pada Jumaat ini di semua premis kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.

“Cadangan ini amat signifikan dalam menghargai jasa dan bakti Tun Abdullah yang telah membawa impak besar kepada pembangunan negeri ini ketika menerajui tampuk pemerintahan negara dari tahun 2003 hingga 2009.

“Sebagai anak jati Bayan Lepas, antara hadiah terbesar Allahyarham kepada rakyat negeri ini ialah Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau lebih dikenali sebagai Jambatan Kedua Pulau Pinang yang diumumkan dalam pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada 2003,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, jambatan itu bukan sahaja memendekkan jarak perjalanan antara bahagian pulau dan tanah besar, malah merancakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan Batu Maung dan pembangunan Bandar Cassia di Batu Kawan sebagai zon perindustrian baharu.

“Allahyarham Tun Abdullah turut menamakan kawasan itu sebagai Bandar Cassia pada 24 Ogos 2004 dan pelan induknya diluluskan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) pada 26 Oktober tahun sama, sebelum penggunaan nama Bandar Cassia disahkan MMK pada 10 Ogos 2016.

“Justeru, bagi mengekalkan legasi beliau, kerajaan negeri bersetuju menamakan semula Lebuhraya Bandar Cassia kepada Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya.

Selain itu, Kon Yeow berkata, Pulau Pinang turut menerima pelbagai manfaat lain di bawah pentadbiran Allahyarham Tun Abdullah termasuk pembesaran pertama Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dengan peruntukan RM1 bilion, pembangunan Penang Sentral bernilai RM2.7 bilion, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dan pelaksanaan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER).

“Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat negara dan khususnya Pulau Pinang. Semoga segala jasa dan bakti beliau akan terus dikenang dan tersemat dalam hati seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut meminta pemilik premis bukan kerajaan untuk sama-sama mengibarkan bendera separuh tiang sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarham Tun Abdullah.

Tun Abdullah meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada Isnin.

Allahyarham yang juga dikenali dengan panggilan Pak Lah menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam.