Pelakon dan pengarah, Mawi nafi sengaja menjadikan isu ‘sakit’ pendakwah bebas Ustaz Kazim Elias sebagai ‘marketing’ untuk filem terbaharu arahannya Zim Zim Ala Kazim.

Menurut Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 41, Ustaz Kazim memang sedang sakit ketika ditawarkan untuk membuat kemunculan melakonkan watak utama filem berkenaan.

“Apa? Marketing? Tak la… Dia macam ni…Ustaz memang tengah tak sihat dan dalam masa yang sama dia tengah shooting filem ni.

“Jadi saya boleh kata kedua-duanya (sakit dan berlakon) adalah betul,” katanya kepada Astro Gempak.

Mawi dihubungi Gempak selepas netizen mendakwa rakyat Malaysia sudah terkena atau ‘prank’ yang dilakukan oleh Ustaz Kazim yang mendakwa sakitnya itu hanya untuk penggambaran filem tersebut.

Tambah Mawi lagi, meskipun Ustaz Kazim tidak sihat namun komitmen yang diberi cukup baik dan dia berharap agar semua berjalan dengan lancar.

“Memang dia dah tak sihat sebelum masuk set…Kalau nak tahu setiap kali masuk set mesti kulit dia berdarah dan menjadi lebih teruk.

“Sebab itu, sehari sebelum shooting dia ada beritahu dia sangat ‘down’ dan malu nak hadap orang-orang di set.

“Tapi Alhamdulilah walaupun tak sihat tapi dia bagi komitmen yang sangat dahsyat dan bagus. Saya cuma harap ia dipermudahkan,” beritahunya lagi.

Zim Zim Ala Kazim masih menjalani penggambaran dan mempunyai lebih kurang 10 hari lagi sebelum ia tamat.