Isu buli di hospital, doktor pelatih di Malaysia kongsi pengalaman

Isu buli di hospital, doktor pelatih di Malaysia kongsi pengalaman

 

Saya mahu menggunakan nama sebenar, tetapi disebabkan nasihat dari kenalan dan takut terkesan dengan perniagaan yang saya sedang usahakan. Jadi saya gelarkan diri saya sebagai Elson – bukan nama sebenar.

Ini adalah cerita saya, seorang doktor muda yang kecundang di tengah-tengah jalan sewaktu sedang melakukan latihan wajib bagi membolehkan saya mendapat gelar penuh seorang doktor.

Anda bebas untuk menghukum saya sebagai seorang yang mudah putus asa. Tetapi jika anda berada di dalam situasi saya, tiada jalan lain melainkan putus asa.

Baru-baru ini hangat mengenai isu doktor pelatih yang ditemui mati ‘mengejut’ disebabkan tekanan dan budaya buli yang wujud di hospital di Malaysia. Tidak dinafikan, perkara itu sebenarnya memang sudah terjadi lama, cumanya ia tidak pernah diberi perhatian.

Kali ini, ceritanya mendapat perhatian mungkin kerana ada unsur kematian. Agaknya sampai bila kita mahu menunggu adanya nyawa orang yang melayang sebelum isu ini benar-benar diberi perhatian?

Syukur, sepanjang membesar menjadi seorang Elson, saya diberi kesempatan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Satu cita-cita yang saya idamkan sejak dari kecil lagi. Saya berjaya menghabiskan pelajaran pada 2018. Perjalanan ini mengambil masa sehingga enam tahun lebih untuk saya mendapatkan gelar Doktor Perubatan.

Zaman belajar dan zaman bekerja sebenarnya boleh dikatakan amat berbeza, bagai langit dan bumi. Habis zaman belajar, saya juga perlu menunggu untuk ditempatkan ke hospital. Proses ini pula boleh mengambil masa sehingga setahun lebih. Jika salah isi, lain pula nasibnya. Boleh jadi dihantar ke kawasan pendalaman yang tiada akses kepada dunia luar.

Orang tanya, kenapa saya mahu sangat menjadi doktor. Dahulu niat saya sama seperti mimpi-mimpi anak kecil sekarang yang jika ditanya kenapa bercita-cita untuk menjadi doktor, jawabnya, ‘mahu bantu orang sakit’ atau ‘mahu rawat ahli keluarga sendiri’.

Namun pandangan saya meleset selepas menceburi bidang ini selama dua tahun. Doktor muda kebanyakannya dikerah bekerja tanpa ada rasa ehsan dan empati terhadap pesakit dengan beban dan waktu kerja yang tidak masuk akal. Ditambah pula dengan persekitaraan kerja yang penuh toksik.

Saya ditempatkan di salah sebuah hospital di tengah-tengah ibu kota. Sepanjang di sana, saya sempat habiskan 5 posting sepanjang menjadi doktor pelatih. Permulaan perjalanan saya sebagai doktor pelatih adalah berada di bahagian ortopedik.

Hari pertama bergelar doktor pelatih, saya sudah dimalukan di hadapan lebih daripada 20 orang yang mengikut sesi bertemu pesakit. Pakar ortopedik bertanyakan soalan yang bagi saya tidak masuk akal untuk seorang doktor pelatih yang setahun lebih tidak mengamalkan apa yang kami pelajari disebabkan
menunggu panggilan penempatan.

Di hari pertama, saya sudah ditengking, dihina dan dimalukan di hadapan khalayak ramai. Tambahan daripada itu, ijazah perubatan saya juga dipertikaikan oleh doktor pakar terbabit.

Sepanjang di sana, para doktor senior bersikap garang dan tidak mesra. Manakala pegawai perubatan pula suka mengambil kesempatan di atas kelemahan kami. Tidak cukup dengan itu, doktor pelatih sering diminta kerja lebih waktu. Ada hari mungkin kami perlu tinggal di hospital dari jam 4 pagi sehingga 10 malam. Ada hari lain pula, kami tidak dibenarkan untuk oncall.

Sepanjang tempoh ini, tenaga doktor pelatih dikerah seperti tiada hari esok. Kami diminta menjaga jumlah pesakit yang banyak, sehingga dua kali ganda daripada kemampuan seorang doktor. Alasan yang diberi oleh doktor senior kenapa kami diminta menjaga lebih pesakit? Kerana kami akan bekerja dari pagi sehingga malam.

Bagi yang tidak bernasib baik atau doktor senior tidak berpuas hati dengan kerja kami, mereka dengan mudah meminta kami bekerja lebih masa sehingga keesokkan harinya. Cuti bukanlah hak mutlak seorang doktor pelatih. Kadang saya terpaksa bekerja 14 hari baru layak untuk mendapat sehari cuti.

Suasana kerja yang harmoni di hospital amat jarang berlaku. Semua orang mahu cepat, mahu marah, tolak menolak pesakit. Jika ada sesuatu yang berlaku atau pesakit yang dijaga mati. Doktor pelatih akan jadi kambing hitam untuk dipersalahkan ketika sesi audit.

Saya tamatkan latihan di bahagian ortopedik selama 4 bulan dengan perasan yang bercampur baur. Mental, rohani dan jiwa saya terasa seolah tiada. Dalam tidak sedar, saya mula rasa diri saya telah hilang.

Selepas 4 bulan di ortopedik dan kemudian dipindahkan ke bahagian perubatan. Dengan kerja yang semakin bertambah dan suasana yang makin mencabar, saya disahkan mengidap Generalised Anxiety Disorder (GAD), dalam erti kata mudah saya mempunyai penyakit mental yang membawa kepada sikap bimbang yang berlebihan dan keterlaluan mengenai kehidupan seharian tanpa sebab yang jelas.

Saya kerap ambil cuti kecemasan. Saya juga kerap mengelak datang kerja sekiranya dijadualkan bekerja dengan pegawai perubatan yang membuli. Ataupun kawan sekerja yang kaki culas tetapi kuat mengipas doktor-doktor senior.

Sepanjang saya disahkan mengidap GAD, ada satu perlawanan dalam diri yang cuba menafikan bahawa saya ada rasa bimbang yang memberi kesan kepada kesihatan mental saya. Saya memaksa diri saya untuk mencari balik minat saya dalam bidang perubatan.

Berbulan-bulan ‘self searching’ dalam persekitaraan yang tidak membantu. Makan pelbagai ubat untuk lawan GAD. Cuba menyibukkan diri dengan kerja. Ditambah pula dengan tekanan berhadapan dengan lapisan pangkat dari doktor, pegawai perubatan atau pembantu am. Saya perlahan-lahan sedar persekitaraan kerja ini tidak membantu saya untuk membina sifat insan dalam diri.

Apa yang saya boleh cakap, perkara ini bukan saya sahaja yang rasa. Ramai lagi doktor pelatih yang menghadapi masalah yang sama. Ada yang bercerita dengan saya bahawa mereka harap sewaktu datang kerja, mereka akan kemalangan di tengah jalan. Manakala yang lain pula mengharapkan bahawa mereka mati dalam tidur.

Lebih parah lagi ada yang sudah berfikir untuk mengambil nyawa mereka sendiri. Seorang doktor pelatih pernah datang bercerita dengan saya, dia kata, “nasib baik agama larang bunuh diri, kalau tidak dah lama aku buat.”

Titik akhir kerjaya saya sebagai doktor pelatih adalah apabila saya disahkan menghidap Major Depression Disorder (MDD). Saya cuba melawan sakit ini dengan meminta untuk ditukarkan ke hospital lain. Tetapi diugut untuk ditamatkan perkhidmatan. Melihat situasi ini, saya akur bahawa persekitaran ini bukan lagi jiwa saya, malah persekitraan ini sebenarnya tidak mahukan saya.

Saya akhirnya mengambil jalan akhir dengan meletak jawatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun lalu. Di hari saya menghantar surat letak jawatan, itulah hari paling kecewa bagi saya. Impian yang saya kejar dibunuh oleh persekitaraan yang kejam. Hancur luluh perasaan ibu bapa, berderai jiwa saya.

Di sudut lain, ada rasa kebebasan dalam diri yang sebelum ini dipenjara oleh orang-orang yang cuba menjatuhkan saya. Untuk keluar dari satu lohong yang gelap dan busuk, kemudian memulakan fasa baru dalam hidup saya adalah suatu perkara yang hari-hari saya titipkan kesyukuran. Sesungguhnya saya adalah orang-orang yang selamat daripada doktor-doktor senior yang cuba membunuh saya dari dalam.

Kini saya bekerja sendiri, dengan sisa-sisa duit yang saya dapat sepanjang berkhidmat sebagai doktor pelatih. Saya bangunkan sebuah perniagaan. Saya mungkin tidak dapat membantu orang dengan perkhidmatan saya sebagai doktor, tetapi perniagaan saya ini sedikit sebanyak dapat membantu komuniti setempat di sini.

Cerita saya ini mungkin mewakili diri saya, atau sebahagian kecil doktor-doktor pelatih. Namun pihak Kementerian Kesihatan Malaysia perlu peka bahawa situasi ini berlaku. Ramai lagi doktor muda yang berhenti disebabkan budaya buli yang wujud di hospital kerajaan. Sikap pentingkan diri dan perangai ‘aku lebih makan garam’ dalam kalangan doktor senior telah membunuh impian doktor muda yang bercita-cita tinggi di bidang perubatan.

Akar masalahnya perlu ditangani daripada awal, supaya pokok yang tumbuh terus mekar berbau harum. Budaya lama perlu dimatikan dan kita perlu bergerak ke persekitaran yang baharu untuk masa hadapan doktor muda yang bakal dilahirkan. Jangan tunggu pokok ‘mati’ baru mahu disiram dengan air, kerana waktu itu yang nampak hanya kejahilan dan kebodohan kita sebagai seorang manusia.