Hidup terabai, isteri kedua kesal dianggap perempuan simpanan versi halal

Hidup terabai, isteri kedua kesal dianggap perempuan simpanan versi halal

 

Hidup terabai, isteri kedua kesal dianggap perempuan simpanan versi halal

Realiti kehidupan seorang wanita yang memilih berkahwin dengan suami orang tidaklah seindah yang disangka.

Malah, layanan yang diterima mungkin lebih teruk berbanding isteri pertama memandangkan kehadirannya dalam keluarga tidak disambut baik.

Menerusi perkongsian di media sosial, seorang peguam mendedahkan bahawa ramai wanita berstatus isteri kedua datang kepadanya untuk meluahkan masalah, khususnya berkaitan pengabaian nafkah dan perhatian daripada suami yang mengamalkan poligami.

Menurutnya, wujud lelaki yang berpoligami menganggap isteri kedua mereka sebagai perempuan simpanan yang halal tanpa merasakan perlu melunaskan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

“Saya bukan nak back up penyondol atau isteri kedua. Cumanya memang banyak sekarang ni wanita berstatus isteri kedua yang datang meminta nasihat pada saya.

“Hampir kesemua mereka yang datang pada saya diabaikan suami, ditinggalkan suami, suami tak ambil tahu, suami pentingkan keluarga isteri pertama sahaja dan tidak memberikan nafkah serta perhatian kepada mereka.

“Ibarat mereka ni perempuan simpanan halal dan lagi teruk bila ada anak, anak juga diabaikan seperti ibunya,” katanya.

Tanggapan berkenaan sama sekali salah, sebaliknya peguam itu menegaskan tanggungjawab terhadap isteri kedua juga wajib ditunaikan suami sama seperti isteri pertama.

Tambahnya, berdosa sekiranya suami tidak berlaku adil memandangkan kesemua isteri yang dikahwini adalah amanah yang ditetapkan oleh Allah SWT untuk dilindungi sebaiknya.

“Saya nak tekankan tak kisah macam mana perempuan tu dapatkan suami orang tu, bila dah lafaz sahaja akad nikah, lelaki tu wajib menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami kepada isteri kedua tersebut sepertimana dia menjalankan tanggungjawab dia pada isteri pertamanya.

“Sebagai suami dia tak boleh membezakan tanggungjawabnya kepada isteri kedua tersebut. Isteri tetap amanah apatah lagi anak. Tak kisahlah isteri kedua ke ketiga ke keempat ke. Nak poligami pastikan ada ilmu!” jelasnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan pendapat mereka, malah ada yang meletakkan sepenuh kesalahan pada bahu isteri kedua.

“Jodoh itu amanah Allah, jadi orang perempuan kena ingat bahawa bukan isteri pertama sahaja jodoh ketentuan Allah baginya.

“Nak jadi isteri kedua fikirlah masak-masak, tambah kalau laki itu tak berkemampuan tapi nak kahwin dua. Memang merana hidup!

“Kifarah. Ada yang single, nak yang dah berpunya. Kongsi-kongsi ni leceh, jadi tak perlulah gigih. Cari yang single tentu fokus pada kita saja,” komen netizen.