“Sudah tentu ada sebab yang sangat kukuh” – Isteri Edika Yusof failkan cerai

“Sudah tentu ada sebab yang sangat kukuh” – Isteri Edika Yusof failkan cerai
Rumah tangga 22 tahun pelakon Edika Yusof, 58, dan isterinya, Nor Hidayah Yusri, 47, kini di ambang perpisahan apabila wanita itu difahamkan sudah memfailkan perceraian pada pertengahan Februari lalu.
Peguam syarie mewakili Nor Hidayah iaitu Mohd Yazid Hazim mengesahkan perkara itu ketika ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
“Untuk hari ini adalah sebutan kali pertama kes (cerai) dan ia sebutan biasa saja iaitu bagi penyerahan dokumen-dokumen daripada anak guam saya selaku plaintif.
“Sepatutnya pihak defendan (Edika) juga perlu hadir hari ini, namun kami menerima surat daripada pihaknya yang menyatakan tidak dapat hadir atas alasan bekerja.
“Jadi, mahkamah memutuskan sebutan kes dibawa kepada tarikh baru dan menetapkan 23 April depan untuk sebutan semula.” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya juga sebab Nor Hidayah memfailkan tuntutan cerai itu, Yazid berkata, buat masa ini dia tidak boleh berkongsi secara terperinci, namun tidak menafikan berkaitan tiada persefahaman.
“Sebab-sebab (tuntutan cerai) daripada anak guam saya, mohon maaf tidak boleh disebutkan secara terperinci kerana ia bersifat subjudis kepada pihak defendan.
“Mungkin, alasan-alasan itu akan dibentang berdasarkan kepada arahan Hakim Syarie pada 23 April depan.
“Tetapi, secara umumnya ialah tiadanya persefahaman antara plaintif dan defendan. Maka permohonan cerai dibuat plaintif (Nor Hidayah) pada pertengahan Februari lalu,” katanya.
Bagi Nor Hidayah pula ketika ditanya mengenai keputusan dibuatnya untuk bercerai, enggan memberi komen lanjut kerana mahu mendengar kenyataan daripada pihak Edika terlebih dulu.
“Semua tahu situasi dan keadaan saya (lumpuh). Jadi, kalau saya sudah sampai tahap pergi ke mahkamah sudah tentu ada sebab yang sangat-sangat kukuh kenapa saya berbuat demikian.
“Jadi, itu sajalah yang boleh saya katakan. Saya tak mahu memberikan sebarang komen yang lebih lanjut.
“Kalian boleh tanya dulu daripada pihak belah sana (Edika) sebab saya tak mahu apa-apa keluar daripada mulut saya dan biar saya dengar dulu daripada dia,” katanya.
Mengulas masih tinggal sebumbung atau tidak, Nor Hidayah berkata, mereka sudah tidak serumah dan enggan memaklumkan sejak bila.
Sebelum ini, pasangan Edika dan Nor Hidayah menarik perhatian ramai apabila pelakon filem Maria Mariana itu didapati sanggup berkorban dan setia menjaga isterinya yang lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak mereka.
Hasil perkongsian hidup dua dekad pasangan ini sejak 2003, Edika dan Hidayah bahagia dengan tiga cahaya mata iaitu Nazirul Afiq, Fardeen Nasrulhaq dan Fereena Nurulhaq.