Isteri cedera kena tumbuk lepas rakam kehadiran kekasih suami di bilik tidur rumah sendiri

Isteri cedera kena tumbuk lepas rakam kehadiran kekasih suami di bilik tidur rumah sendiri

Seorang wanita cedera ditumbuk suaminya ketika cuba merakam perbuatan lelaki itu membawa masuk seorang perempuan tidak dikenalinya ke dalam bilik rumah mereka di sini, pada Selasa lalu.

Kejadian berlaku pada jam 5.10 petang apabila mangsa berusia 53 tahun itu baharu tiba di rumahnya dekat Taman Desa Pauh, Pauh, di sini.

Sejurus tiba, dia mendapati suaminya yang berusia 49 tahun bergegas menolak seorang wanita tidak dikenali mangsa masuk ke dalam tandas bilik tidur utama rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Arau, Superitendan Ahmad Mohsin Md Rodi, berkata wanita berkenaan dipercayai kekasih suami mangsa

“Geram dengan perbuatan suaminya itu, mangsa kemudian bertindak merakam perbuatan suspek bersama teman wanitanya itu. Apabila suspek menyedari perbuatan isterinya itu, maka berlaku pergelutan di antara mereka.

“Suspek yang berang kemudian merampas dan membuang telefon bimbit mangsa ke lantai sehingga pecah sebelum menyiku atas bahu, menampar dan menumbuk bahagian muka mangsa sehingga terjatuh yang mengakibatkan bahu mangsa mengalami sakit, selain mukanya bengkak.

“Kejadian itu disedari anak lelaki mangsa berusia 16 tahun yang cuba membantu ibunya namun suspek bertindak mencekik leher dan menumbuk dada dan bahagian mulut remaja itu hingga mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Ahmad Mohsin berkata, melihatkan kejadian itu, adik kepada mangsa pula bertindak masuk campur dan meleraikan pergaduhan terbabit sebelum mangsa tampil ke Balai Polis Arau untuk membuat laporan.

“Siasatan awal mendapati rumah teres setingkat yang didiami mangsa dan suspek itu adalah milik mendiang ibu suspek. Punca kejadian adalah disebabkan perbuatan suspek membawa seorang wanita tidak dikenali mangsa masuk ke dalam bilik tidur mereka,” katanya.

Beliau berkata, selepas membuat laporan polis, mangsa bersama anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah Kangar.

“Laporan awal perubatan mendapati mangsa mengalami kesan bengkak di bahagian pipi kiri dan bahu kiri manakala anak lelakinya mengalami sakit di bahagian kepala, tangan kanan, lutut kanan dan perut,” katanya.

Suspek yang tidak bekerja itu kemudian ditahan polis dan direman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.