Ini sebab kenapa semakin ramai warga Indonesia berminat pindah ke Malaysia

Ini sebab kenapa semakin ramai warga Indonesia berminat pindah ke Malaysia

 

Ini sebab kenapa semakin ramai warga Indonesia berminat pindah ke Malaysia

Baru-baru ini, seorang lelaki Indonesia, Iqbal Aqaba, mencetuskan perbincangan hangat di platform media sosial X apabila menyuarakan hasrat untuk berpindah ke Malaysia.

Dalam ciapannya, beliau menyatakan bahawa kos sara hidup di Malaysia hampir sama dengan Jakarta, tetapi peluang pekerjaan di negara ini dilihat lebih luas.

Iqbal turut bertanya mengenai prosedur untuk berpindah ke Malaysia, termasuk persoalan sama ada terdapat visa khas seperti yang ditawarkan di Singapura.

Pertanyaan ini menarik pelbagai reaksi, khususnya daripada mereka yang mempunyai pengalaman menetap di Malaysia.

Beberapa individu berkongsi pengalaman mereka menetap di Malaysia.

Antaranya ialah Anderpatipras, yang pernah tinggal di Selangor selama empat tahun. Beliau memuji kemudahan pengangkutan percuma dan makanan yang setanding dari segi rasa serta harga. Visa dan permitnya juga diuruskan oleh syarikat, menjadikan kehidupannya lebih mudah.

Saru Man pula berkongsi kos sara hidup di Malaysia hampir sama dengan Jakarta, tetapi gaji di sini jauh lebih tinggi, walaupun untuk pekerjaan biasa seperti di kedai runcit.

“Sementara itu, Wu, yang telah menetap di Malaysia selama lapan tahun, menyifatkan kos sara hidup di Malaysia lebih berbaloi jika dibandingkan dengan pendapatan yang diterima. Beliau juga memuji kemudahan kesihatan yang lebih baik berbanding Jakarta.

Perbincangan ini turut mencetuskan reaksi daripada rakyat Malaysia, dengan beberapa pihak mempersoalkan mengapa warga Indonesia berminat untuk berpindah ke Malaysia, sedangkan mereka sering menyatakan peluang pekerjaan di negara sendiri masih banyak.

Namun, ada netizen yang memberikan cadangan praktikal. “Yang berminat bekerja di Malaysia, datang terlebih dahulu sebagai pelancong untuk memahami keadaan sebenar sebelum membuat keputusan besar.

“Ini dapat membantu untuk membuat pilihan yang lebih tepat sama ada untuk menetap atau kembali ke negara asal,” kata seorang pengguna X.