IMC nafi terima konsesi pasir, hartanah untuk Perak FC

IMC nafi terima konsesi pasir, hartanah untuk Perak FC

 

Tidak cukup dengan kemelut kewangan, pemilik Perak FC, Impact Media & Communication Sdn. Bhd. (IMC) turut dihujani fitnah menerima hartanah daripada kerajaan negeri Perak.

Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah dan yang menegaskan, mereka tidak menerima bantuan dana atau diberi sebarang konsesi kerajaan negeri atau mana-mana anak syarikat kerajaan negeri.

“Banyak tuduhan dilemparkan kepada Pe­rak FC dan IMC mengenai anugerah hartanah dan aset milik kerajaan negeri yang kononnya diberikan kepada kelab tersebut.

“Selain tuduhan yang melibatkan sebidang tanah bernilai RM400 juta dan sebuah kuari di dalam negeri yang telah disebarkan melalui media sosial.

“Tuduhan terbaharu melibatkan penganugerahan sebuah lesen konsesi pasir yang diberikan kepada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan salah seorang ahli teknikal kanan kelab.

“Sehingga hari ini, kami ingin menegaskan kami tidak menerima sebarang bantuan dana atau pun diberikan sebarang konsesi daripada kerajaan negeri atau mana-mana anak syarikat kerajaan ne­geri,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan pengetahuan IMC, konsesi pasir yang dimaksudkan telah diberikan pada bulan Oktober 2021, jauh sebelum IMC terlibat dengan bola sepak Perak.

“Tuduhan ini berniat jahat, dan merupakan satu cubaan oleh pihak tertentu untuk merosakkan usaha kami untuk menjual milikan Perak FC,” ujar Yunus.

IMC menghadapi kemelut kewangan menyaksikan mereka gagal membayar tunggakan gaji pemain, pegawai pasukan dan pekerja kelab itu antara dua hingga tujuh bulan.

Berikutan itu Perak FC baru-baru ini dikenakan pemotongan mata oleh ‘First Instance Body’ (FIB) dan menghadapi kemungkinan lesen kelab ditarik pada akhir bulan disebabkan kegagalan melunaskan pembayaran gaji bagi tahun 2021.

Terbaru, sebuah konsortium yang diwakili oleh sebuah syarikat tujuan khas (SPV) mengemukakan sebuah tawaran susulan untuk membeli dan mengambil alih 100% pemilikan kelab.

IMC telah bersetuju untuk berbincang dan dijangka menyerahkan pemilikan mereka ke atas Perak FC sebelum akhir minggu ini.