Lelaki kongsi ilmu masuk hutan, minta selamatkan diri jika jumpa kawasan ini
Lelaki kongsi ilmu masuk hutan, minta selamatkan diri jika jumpa kawasan ini.
Ramai yang gemar memasuki hutan bersama rakan mahupun keluarga untuk aktiviti riadah seperti perkhemahan, mendaki dan sebagainya.
Namun seseorang itu perlulah berwaspada ketika memasuki kawasan rimba kerana pelbagai risiko yang menanti terutamanya ancaman binatang buas.
Melalui hantaran di TikTok, seorang lelaki dikenali sebagai Rahim Bakau yang memahiri selok-belok alam semula jadi, berkongsi satu petua penting kepada masyarakat.
“Kepada hikers dan campers, kalau anda masuk hutan dan jumpa lopak air berlumpur sebegini, terus patah balik, pergi sejauh mungkin dari tempat tu, jangan bertangguh lagi.
“Petanda sebegini sangat berbahaya. Sampaikan pesanan ini kepada orang yang anda sayang,” ujarnya membuatkan ramai tertanya-tanya.
Dalam video berasingan, Rahim memberikan penjelasan lanjut mengenai bahaya yang dimaksudkan itu.
“Apabila ada kubang seperti ini, kebanyakan haiwan misalnya babi hutan akan turun untuk minum air dan sejukkan badan.
“Pada waktu sama, pemangsa iaitu harimau belang, harimau bintang, ular sawa dan lain-lain akan menunggu untuk mencari makan. Ini kira macam lokasi mereka untuk berburu.
“Sangat bahaya jika kita turut berada di kawasan sekitar sini, takutnya kita yang menjadi santapan pemangsa tersebut.
“Kalau macam di sungai pula, memandangkan ia panjang dan luas, hanya ada sesetengah tempat je yang menjadi tumpuan haiwan dan pemangsa, kita kena pandai kenal pasti,” jelas Rahim.
Antara petanda kehadiran pemangsa di kawasan berdekatan adalah kesan cakaran pada batang pokok, jejak tapak kaki, najis ditinggalkan dan bangkai haiwan yang pernah dimakan. Semoga bermanfaat!