“Ikhwan Aircond tiada kena mengena dengan GISB” – Kenyataan syarikat ini raih perhatian netizen

Sejak akhir-akhir ini, nama Global Ikhwan Services and Business Holding Sdn Bhd (GISBH) telah menjadi topik hangat pengguna di media sosial.
Perkara itu menjadi perhatian selepas ia didakwa berkait dengan ajaran sesat dan ada dakwaan terbabit dalam jenayah mengeksploitasi kanak-kanak di rumah amal.
Isu seperti ini secara tidak langsung membuatkan masyarakat khususnya pengguna media sosial bimbang dan seterusnya menyenaraikan apakah perniagaan yang membabitkan GISBH.
Sedar mengenai perkara itu dan bimbang jika ada masyarakat keliru, sebuah syarikat penghawa dingin yang dikenali sebagai Ikhwan Aircond & Electric telah tampil memaklumkan mereka tidak mempunyai kaitan dengan pihak berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan oleh syarikat tersebut menerusi satu muat naik di TikTok @ikhwanaircond.
“Dengan segala hormatnya, pihak Ikhwan Aircond & Elektrik ingin memaklumkan kepada semua pelanggan dan orang ramai bahawa syarikat kami tiada kena mengena dengan Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB).
“Nama Ikhwan dalam syarikat kami adalah sempena nama pengasas kami, Ikhwan Hakim dan bukan merujuk kepada mana-mana entiti atau organisasi lain,” katanya.
Malah syarikat itu turut berharap dengan penjelasan yang diberikan sebarang kekeliruan dapat dielakkan.
Kenyataan dikeluarkan oleh syarikat itu secara tidak langsung membuatkan ramai terhibur. Malah ada juga yang sempat berseloroh dengan warna mengatakan warna syarikat itu turut boleh mengundang kekeliruan kerana berwarna biru.
Ada juga mengatakan dek kerana satu nama Ikhwan yang terbabit dengan kontroversi, ‘Ikhwan’ lain juga terpalit.
Kenyataan syarikat penghawa dingin itu turut menjadi tular di X dan meraih perhatian pengguna di platform tersebut.