Hutan Simpan Kledang Saiong yang tular gambar lama

Hutan Simpan Kledang Saiong yang tular gambar lama

 

Kenyataan ‘hutan simpan pun boleh dapat lesen untuk tarah’ bersama gambar kawasan pembalakan yang tular dalam media sosial sejak minggu lalu adalah kenyataan dan gambar lama yang ditularkan semula.

Pengarah Jabatan Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, kenyataan dan gambar tersebut telah dimuat naik pada 2019 dan kini ditularkan semula oleh netizen.

“Berdasarkan rekod pejabat ini (Jabatan Perhutanan Perak), kawasan tersebut merupakan Hutan Simpan Kledang Saiong yang diklasifikasikan sebagai hutan pengeluaran.

“Satu kelulusan membalak seluas 80 hektar telah diberi oleh pihak berkuasa negeri pada 2018 dengan aktiviti pembalakan dijalankan melalui pengeluaran satu lesen pada 2019 dan tamat pada 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, aktiviti pembalakan di situ telah dijalankan mengikut prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak jabatan tersebut.

Beliau menjelaskan jabatan itu berpandangan pengadu telah keliru dengan istilah ‘Hutan Simpan Kekal’ yang pada anggapannya aktiviti pembalakan tidak boleh dijalankan.

“Anggapan beliau adalah tidak tepat kerana hutan simpan kekal klasifikasi pengeluaran boleh dijalankan pembalakan mengikut prosedur dan syarat-syarat yang ditetapkan,” jelasnya.

Jelasnya, terdapat seluas lebih kurang 987,000 hektar kawasan yang diwartakan sebagai hutan simpanan kekal di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 di Perak yang telah diurus berasaskan kepada prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan.

Bagi tujuan tersebut, jelasnya, hutan simpan kekal ini diklasifikasikan kepada 51 peratus Hutan Pengeluaran dan 49 peratus Hutan Perlindungan.

“Hutan pengeluaran adalah bagi tujuan pengeluaran hasil-hasil hutan termasuk pengeluaran kayu secara berkekalan melalui aktiviti pembalakan.

“Sementara, Hutan Perlindungan pula adalah bagi tujuan pemeliharaan alam sekitar, bekalan air mentah, perlindungan hidupan liar dan lain-lain lagi,” jelasnya.