Perlu wang tengok Harimau Malaya di Kemboja, lelaki mengaku bunuh & ambil barang kemas mangsa
Perlu wang tengok Harimau Malaya di Kemboja, lelaki mengaku bunuh & ambil barang kemas mangsa
Terdesak perlukan wang untuk perbelanjaan menyaksikan perlawanan Malaysia dan Kemboja pada kejohanan Piala Mitsubishi Electric Asean 2024 di Phnom Penh, Kemboja, 8 Disember lalu dikenal pasti motif pembunuhan seorang wanita yang mayatnya ditemui reput di Tabuan Jaya, di sini, Ahad lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, motif pembunuhan itu diketahui selepas suspek yang kini ditahan reman, mengaku melakukan perbuatan itu.
Beliau berkata, suspek mengaku mengambil barang kemas mangsa iaitu gelang tangan emas dan anting-anting emas untuk digadai.
“Ketika dalam soal siasat, suspek mengaku melakukan perbuatan itu (membunuh mangsa) dan mengambil barang kemas mangsa untuk digadai kerana dia memerlukan wang untuk perbelanjaan di ketika menyaksikan kejohanan bola sepak Kemboja,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
“Selepas polis berjaya menahannya dan melakukan siasatan, suspek membuat pengakuan memang dia yang membunuh mangsa dan berdasarkan bukti yang diperoleh, polis percaya kes itu hampir selesai.
“Malah suspek juga menunjukkan lokasi mayat mangsa dibuang sehingga membawa kepada penemuan mayat wanita yang sudah reput baru-baru ini,” katanya.
Mancha berkata, ketika pemeriksaan susulan di lokasi mayat mangsa ditemui Ahad lalu di longkang berdekatan tempat pembuangan sampah di Tabuan Jaya, semalam, polis menemui beberapa bahan bukti baharu antaranya pakaian, gigi dan gumpalan rambut.
“Polis pergi semula ke lokasi itu semalam kerana ketika ditemui, mayat tidak berpakaian lengkap dan hasil pemeriksaan terbaharu itu, kita berjaya menemui bukti baharu,” katanya.
Pada 5 Disember lalu, polis menerima laporan kehilangan seorang wanita, Nurul Asikin Lan, 26, selepas dia dikatakan keluar dengan seorang lelaki yang baru dikenali.
Mancha berkata, berikutan keadaan mayat yang sudah reput, keluarga wanita terbabit juga tidak dapat mengecamnya.
Justeru katanya, polis juga masih menunggu keputusan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) yang dijangka diperoleh 22 Disember ini untuk mengesahkan identiti mayat reput itu.