Generasi baharu Alphard muncul April 2022, Vellfire bakal berkubur

Generasi baharu Alphard muncul April 2022, Vellfire bakal berkubur

 

Toyota Alphard memang tidak dapat dinafikan tahap popularitinya bukan sahaja di Jepun malah ia juga turut menjadi pilihan kebanyakan ahlil politik di Malaysia.

Sedar ataupun tidak, generasi ketiga Toyota Alphard/Vellfire sebenarnya sudah pun kian menghampiri penghujung kitaran model semenjak diperkenalkan pada tahun 2015.

Menurut laporan terkini daripada Careta, Toyota merancang untuk memperkenalkan generasi baharu (full model change) menjelang tahun hadapan, bersama-sama model MPV Toyota Noah.

Apa yang menarik perhatian adalah Toyota bakal menghentikan penawaran versi Vellfire dan menumpukan perhatian kepada satu model sahaja, iaitu Alphard.

Ini kerana, berdasarkan data penjualan di Jepun sahaja, Toyota Alphard secara purata mencapai angka jualan 7,500 unit setiap bulan pada tahun 2020.

Sebagai perbandingan, Toyota Vellfire yang dijual menerusi pengedar Toyopet dan Netz hanya mampu dijual sebanyak 1,652 unit sahaja secara purata.

Jadi, ia merupakan satu tindakan yang bijak bagi Toyota untuk meringkaskan terus penawaran van kotak kepada model tunggal Alphard sahaja.

Lexus NX

Alphard generasi baharu dijangka menggunakan platform TNGA-K yang sama digunakan pada Toyota Sienna, serta penawaran enjin baharu bersesaran 2.4 liter turbo yang mampu menghasilkan 275 hp dan 430 Nm.

Enjin ini berkemungkinan besar merupakan nadi T24A-FTS yang muncul buat kali pertama pada model SUV Lexus NX generasi baharu.

Selain daripada itu, mengikut rentak penawaran model semasa, Toyota juga dijangka menawarkan Alphard versi GR Sport!

Menurut laman web BestCarWeb, Toyota Alphard 2022 generasi baharu dijangka muncul secara rasmi pada bulan April 2022, selepas pelancaran sebuah lagi MPV kotak Toyota Noah yang dijadualkan pelancarannya pada Januari 2022.