Gempar! Wanita hamil 8 bulan dicabul di dalam rumah
BATU GAJAH: Wanita hamil lapan bulan berdepan detik cemas dicabul lelaki tidak dikenali di sebuah rumah di Taman Pusing Utusan, Pusing, di sini, semalam.
Wanita berusia 27 tahun itu dicabul di bahagian pinggul kirinya, pada jam 8 pagi ketika dia membuka pintu jeriji hadapan rumahnya.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suspek menyerbu ke arah mangsa dan menutup mulut serta mencengkam pergelangan tangan mangsa dengan tangannya.
Menurutnya, suspek yang memakai pelitup muka menyuruh mangsa diam sebelum menolak wanita itu ke dalam rumah sehingga menyebabkan mangsa terbaring dalam keadaan mengiring.
“Suspek menggosok pinggul mangsa dengan tangannya. Mangsa merayu supaya dilepaskan dan dia hanya dilepaskan selepas wanita itu memberitahu dirinya mengandung.
“Sebelum beredar suspek bertanya mengenai suami dan mangsa tinggal bersama siapa di rumah itu, namun wanita itu hanya mendiamkan diri. Suspek beredar selepas jiran sebelah rumah mangsa keluar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Adnan berkata, hasil siasatan mendapati hanya sebuah rumah saja yang berpenghuni di kawasan rumah mangsa.
Katanya, suspek juga dipercayai sudah lama mengekori mangsa dan turut menyewa rumah di taman sama.
“Mangsa sudah membuat pemeriksaan di Hospital Batu Gajah dan kandungannya selamat cuma dia lebam di pergelangan tangan,” katanya.
Beliau berkata, susulan itu, suspek berusia 34 tahun yang sudah berkahwin ditahan pada 4.40 petang di Batu Gajah, semalam.
“Semakan mendapati lelaki itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan dia direman tiga hari bermula hari ini hingga Khamis ini.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sumber: HMetro