Lelaki gemar buang air besar merata-rata diburu

Lelaki gemar buang air besar merata-rata diburu

 

Polis Britain masih memburu seorang lelaki yang gemar membuang air besar di laluan milik jirannya, demikian menurut laman berita MailOnline kelmarin.

Kampung Camber di Sussex, England digemparkan oleh tindakan lelaki tersebut yang meninjau kawasan itu untuk membuang air besar.

Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) pada Khamis lalu menunjukkan seorang lelaki berdiri di satu sudut garaj dengan membawa bersama gulungan kertas tandas.

Dia kemudian mencangkung sambil melondehkan seluarnya untuk membuang air besar di hadapan orang yang mungkin lalu lalang ketika dia melakukan perbuatan tidak senonoh tersebut.

Selepas melepaskan hajat, lelaki itu berjalan meninggalkan tempat kejadian tetapi masih membawa kertas tandasnya.

Laman berita Sussex News melaporkan kisah aneh itu dengan menulis: “Hantu pembuang air besar beraksi sekali lagi di Camber!”

Ia kemudian mendapat reaksi daripada pengguna media sosial.

Seorang netizen berkata: “Dia pasti mempunyai alasan tersendiri. Sangat menyedihkan seseorang terpaksa melakukan perkara ini.”