Wanita kecewa kerja setahun gaji naik hanya RM50

Wanita kecewa kerja setahun gaji naik hanya RM50
Kenaikan gaji sepatutnya menjadi motivasi, tanda penghargaan atas kerja keras seseorang.
Tapi bagaimana jika kenaikan itu hanya cukup untuk beli secawan kopi?
Bagi wanita ini kenaikan gaji RM50 selepas setahun bekerja bukan sekadar mengecewakan—ia seperti satu penghinaan.
Dalam satu pos viral di Threads, wanita ini meluahkan rasa kecewanya, “Inilah hasil kerja hampir setahun, dapat RM50 je???”
Dia turut memuat naik surat kenaikan gaji dari majikannya, menyatakan gaji asasnya dinaikkan dari RM1,900 kepada RM1,950 berkuat kuasa 1 Mac 2025—peningkatan hanya 2.6%.
Surat itu juga menyatakan, “Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih atas kerja keras dan sokongan anda.”
Ramai netizen terkesan dengan ceritanya.
Ada yang ketawa, ada yang kongsi nasib sama, dan ada juga yang memberi nasihat.
Secara purata, kenaikan gaji tahunan di Malaysia biasanya antara 3%–6%, bergantung pada prestasi, industri, dan keuntungan syarikat.
Bagi yang bergaji sekitar RM2,000, kenaikan 3% bermakna lebih kurang RM60—jadi RM50 memang tak jauh bezanya, tapi tetap dianggap rendah.
Masalahnya? Inflasi Malaysia purata 3–4% setahun.
Jika kenaikan gaji tak setara dengan inflasi, maknanya kuasa beli sebenarnya merosot.
RM50 tu mungkin sekadar “isi minyak motor” berbanding benar-benar membantu hidup.
Ada juga beberapa komen yang bernada sinis menyindir, “Setahun kerja expect berapa? Hahaha!”
Tapi ramai yang lebih simpati dan berkongsi pengalaman pahit mereka, “Saya kerja 9 tahun dalam syarikat sama, bagi semua tenaga, dapat RM50 je gaji naik. Nasihat saya: tingkatkan skill dan cari kerja lain. Jangan bagi lebih dari yang mereka bayar.”
Ramai netizen tekankan betapa mustahilnya hidup selesa dengan kenaikan kecil ini, terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur.
“Ramai normalisasi gaji begini. Harap awak cepat dapat kerja lain. Ini baru gaji asas—belum tolak KWSP lagi. Kalau tinggal di KL, memang hidup tak cukup.”
Sebahagian cuba beri pandangan berbeza dengan analisis nombor:
“2.6% tu sebenarnya dalam range biasa (2%–5%). Tapi inflasi 4%, jadi increment awak sebenarnya kurang. Kalau nak gaji lebih, mungkin kena tukar kerja.”