Gagal dihubungi, Aliff Syukri dedah identiti bekas menteri berhutang puluhan juta
Sebelum ini, usahawan berkontroversi Datuk Seri Aliff Syukri meluahkan rasa kesal apabila seorang usahawan wanita terkenal dikatakan ‘liat’ untuk membayar hutangnya meskipun sudah banyak kali dihubungi.
Bekas Menteri berhutang?
Terbaharu, Aliff atau nama sebenarnya Aliff Syukri Kamarzaman mendakwa terdapat seorang lagi individu berpangkat Tan Sri yang cuba mengelak daripada membayar hutang berjumlah puluhan juta ringgit.
Menerusi kemas kini di Instagram, Aliff berkata dia sudah pun menghubungi Tan Sri berkenaan, namun panggilan telefon serta mesej pesanan ringkas yang dihantar tidak dijawab dan dibalas.
Mengejutkan lagi apabila Aliff mendedahkan Tan Seri berkenaan merupakan seorang bekas menteri.
Tak kan bekas menteri macam ini? Saya hubungi dia tak angkat, saya Whatsapp dia tak balas.
Waktu pinjam dulu nak minta bantuan saya, dialah yang terhengeh-hengeh nak jumpa saya.
Siapa kenal Tan Sri ini? Minta dia bayar duit saya yang berpuluh juta itu. Dia mesti kaya sebab bekas menteri.
Menerusi perkongsian tersebut, Aliff turut memuat naik sekeping gambar yang didakwa Tan Sri yang dimaksudkan, namun menutup sedikit wajahnya dengan ‘sticker’.
Pun begitu, ayah kepada enam cahaya mata itu enggan berkongsi secara terperinci, namun berharap posting berkenaan sampai kepada pihak Tan Sri tersebut.
Saya tak mahu cerita perkara sebenar, nanti malu satu keluarga Tan Sri dan keturunan Tan Sri. Jadi saya sabar jelah.
Orang Langkawi mesti kenal dia hartawan Malaysia. Saya minta tolonglah kalau posting ini dilihat oleh anak dia, saudara mara dia ke. Tan Sri tolonglah jangan buat macam ini dah tua. Jangan zalimi saya.
Bapa angkat?
Sementara itu, menjengah ke ruangan balas, rata-rata netizen berasa terkejut dengan pendedahan tersebut dan dalam masa sama simpati ke atas nasib Aliff.
Dalam pada itu, ada segelintir wargamaya yang mendakwa Tan Sri tersebut merupakan bapa angkat kepada usahawan itu.
Komen berkenaan kemudian mendapat perhatian Aliff dan menegaskan Tan Sri itu bukan lagi bapa angkatnya.