Demi maruah sebagai wanita, Fazura nekad mahu bercerai dengan Fattah Amin

Demi maruah sebagai wanita, Fazura nekad mahu bercerai dengan Fattah Amin

 

Pelakon, Nur Fazura nekad mahu bercerai dengan suami yang juga aktor, Fattah Amin demi maruahnya sebagai seorang wanita.

Jelas aktres berusia 41 tahun, keputusan yang dibuat pada 13 September lalu juga turut melibatkan kesejahteraan anak, Nur Fatima Aisya, 4.

Menerusi hantaran di Instagram sebentar tadi, Fazura juga memohon orang ramai mendoakan proses perceraian mereka dipermudah dan berjalan lancar.

“Pada hari ini, Faz (Fazura) nekad untuk meneruskan keputusan Faz sebelum ini demi maruah Faz sebagai wanita dan kesejahteraan Fatima dalam hidup Faz.

“Mohon doakan Faz dapat menyempurnakan proses ini dengan baik dan lancar. 

“Terima kasih sekali lagi atas kata-kata semangat, sokongan dan semua doa untuk Fatima dan Faz sekeluarga,” tulisnya di Instagram.

Dalam hantaran yang sama, Fazura turut menitipkan ucapan penghargaan buat mereka yang tidak putus memberi kata semangat.

Jelasnya lagi, dia mengambil keputusan selepas mempertimbangkan masa depannya bersama Fatima.

“Pertama sekali, Faz ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan, doa yang baik, kata-kata semangat, bunga dan tanda hati kepada Faz sejak lebih seminggu lalu.

“Alhamdulillah dan terima kash sekali lagi kepada semua. Keputusan yang Faz buat pada 13 September lepas bukanlah sesuatu yang diambil dengan ringan tanpa sebarang pertimbangan dan refleksi mendalam tentang masa hadapan Fatima dan Faz,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan Fattah belum bersetuju untuk melepaskan Fazura semasa sebutan kes permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini, pagi tadi.

Mahkamah kemudian menangguhkan kes perceraian pasangan selebriti itu ke tarikh baharu pada 7 Oktober ini.