Erra Fazira akhirnya buka mulut tentang hubungan dengan Mr E
Erra Fazira akhirnya buka mulut tentang hubungan dengan Mr E
Sudah berulang kali bintang jelita, Erra Fazira, 51, diserang virus cinta, namun belum ada satu pun menjangkitinya.
Sering dikaitkan menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki daripada pelbagai hiraki, namun semuanya itu hanyalah sekadar usikan manja.
Tiada janji termeterai, malah belum ada ikatan yang terjalin. Sebaliknya, Erra kelihatan selesa menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal dan hanya fokus pada kerjaya hinggalah hantaran berbentuk ucapan selamat ulang tahun ditujukan kepada jejaka misteri dimuat naik dalam Instagram Story (IGs), baru-baru ini.
Gara-gara ucapan berbaur romantis, pemilik nama lengkap Fazira Wan Chek ibarat duduk di kerusi panas apabila ramai yang mendambakan kenyataan pasti berhubung tindakannya itu.
Untuk kesekian kali, Primadona Filem Melayu itu menegaskan, antara dia dan pengusaha kafe bernama Ezwan Zain atau Mr E, 44, sekadar kenalan rapat dan tiada sebarang hubungan istimewa.
“Saya kenal Ezwan sudah agak lama kerana pernah ke kafenya ketika penggambaran program bual bicara, Primadona.
“Namun, kami tak bersembang pun. Kalau tak silap saya, kami bertemu semula tiga tahun lalu di konti radio Sinar FM.
“Dari situ, kami mula berbual sekadar untuk menyantuni. Hanya beberapa bulan lalu Ezwan mula rajin menghantar mesej dalam Instagram (IG), sejak itulah, kami semakin rancak berbual.
“Maka, boleh dikatakan kami mula rapat sejak beberapa bulan lalu. Saya kategorikan Ezwan sebagai kenalan rapat,” kata Erra mengimbau semula detik awal perkenalan mereka.
Mengenali pelakon jelita ini, dia bukanlah seorang yang gemar berkongsi kisah peribadi dalam media sosial.
Justeru, apabila secara tiba-tiba memuat naik hantaran seakan memberi bayangan sedang dilamun cinta, tentunya ramai tercari-cari siapakah jejaka bertuah yang mampu mengetuk pintu hatinya itu.
Mengulas lanjut, pelakon filem Polis Evo 2 sekali lagi menegaskan tiada sebarang maksud tersembunyi berhubung ucapan istimewa dilayangkan kerana ia hanyalah sekadar ingatan seorang sahabat.
“Mengucapkan ‘happy birthday’ adalah perkara biasa. Sebelum ini, sudah ramai yang saya ucap berserta dengan emoji hati. Mungkin dia terlihat sebagai ‘potential partner’ di mata orang luar menyebabkan kisah kami ini digembar-gemburkan.
“Saya jarang berkongsi apabila tiada keperluan untuk dikongsi. Dalam hati, tujuan saya sekadar ingin membuat kejutan istimewa buat Ezwan. Hanya ucapan ringkas buat si ‘birthday boy’, maka saya muat naik.
“Saya tak rasa ia keterlaluan sehingga boleh menjadi bahan bualan. Dengan tumpuan diberikan, saya percaya Ezwan sedikit terkejut, tetapi dia adalah insan yang tidak asing dalam industri hiburan, jadi dapat menanganinya dengan baik,” ungkap Erra kepada BH Online.
Ketika ditemubual BH sebelum ini, lelaki berstatus duda itu menyifatkan Erra sebagai wanita matang. Ditanya apakah pandangannya terhadap Ezwan, Erra mengakui, temannya itu turut mempunyai keperibadian yang sama sepertinya sepanjang mengenalinya.
“Alhamdulillah, kalau rasa saya wanita matang di matanya, saya juga berpendapat sama, dia juga lelaki matang dan mudah dibawa berbual dalam banyak topik.
“Saya bersyukur berkawan dengan lelaki berstatus duda dan agak matang. Sama ada, dia pilihan terbaik dalam membentuk institusi perkahwinan, saya belum mengkaji ke arah itu dengan mendalam,” tutur penyanyi Menangkah Cinta ini.
Meskipun konsisten menafikan sedang berpacaran, namun ada angin yang menyampaikan khabar, Erra dan Ezwan sudah bertemu keluarga, iaitu satu proses awal sebelum penyatuan dua jiwa.
Bukan itu sahaja, difahamkan juga akan ada pengumuman istimewa akan dibuat Erra pada 7 Februari depan yang juga tarikh ulang tahun kelahirannya.
Saat diajukan pertanyaan kepada si empunya diri, Erra hanya tergelak besar seraya menafikan spekulasi nakal itu.
“Eh! Mana pula dapat cerita ini? Belum lagi. Sabarlah. Saya sendiri baru dengar cerita ini kononnya ada pengumuman istimewa pada tarikh berkenaan, namun hakikatnya tiada apa akan berlaku.
“Hingga saat ini tiada apa-apa perancangan istimewa untuk tarikh itu. Andai ada berita baik, insya-Allah pasti akan dikongsikan. Saya hanya mohon doakan yang baik-baik.
“Jodoh, ajal dan maut terletak di tangan Allah. Andai saya tolak dan Allah sudah aturkan inilah jodoh saya, maka berkahwinlah kami. Andai kami mahu, tapi takdir tentukan kami tiada jodoh, maka tidaklah perkara ini akan berlaku.
“Kalau boleh tak perlulah kisah ini dipanjangkan dan terlalu digembar-gemburkan. Tak manis rasanya dan kalau tak jadi, saya yang malu nanti,” kata Erra mengharap pengertian.
Terdahulu, BH melaporkan selepas ramai tertanya-tanya siapakah insan bertuah yang mendapat ucapan istimewa tersebut, seorang individu yang hanya mahu dikenali sebagai Mr E mengesahkan dialah lelaki yang dimaksudkan Erra itu.
Malah, lelaki berusia 44 tahun itu juga tidak menafikan mereka kini sedang dalam fasa mengenali hati budi.
Erra pernah mendirikan rumah tangga dengan Datuk Yusri Abdul Halim pada 2003, namun bercerai pada 2006.
Kemudiannya, Erra bertemu jodoh dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 2007 dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Engku Aleesya, 16. Erra dan Engku Emran bercerai pada 2014.