“Encik terlupa kot nak cakap..” – Wajah pelanggan pucat, kantoi sorok ayam dan telur dalam timbunan sayur
Kesibukan peniaga mengira harga makanan berlauk yang diambil pelanggan merupakan situasi biasa di kedai-kedai makan terutamanya pada waktu puncak.
Keadaan ini membuatkan peniaga tak menang tangan, lebih-lebih dengan kehadiran ramai pelanggan selain isu kekurangan staf.
Dalam kekalutan itu, kemunculan seorang pelanggan dengan nasi bungkus yang hanya berlaukkan sayur ketika ingin membayar menarik perhatian peniaga di sebuah premis makanan.
“Depan aku ada seorang lelaki umur 30an. Dia hulur bungkusan makanan kepada tauke untuk dikira. Dia cakap… saya ambil nasi, kuah sikit dan sayur.
“Tauke buka bungkusan makanan dia dan dia kantoi. Rupanya di bawah nasi, dia selitkan seketul ayam dan sebiji telur,” cerita Cikgu Asraf menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut mStar, tanpa mendedahkan lokasi gerai tersebut, Cikgu Asraf memaklumkan wajah pelanggan itu berubah serta-merta selepas ditegur peniaga berkenaan.
“Lelaki itu dah mula pucat mukanya. Risau dengan tauke apabila dah kantoi.
“Tauke itu cakap… encik terlupa kot nak cakap ambil ayam dan telur. Biasalah tu, kadang-kadang terlupa,” ujar guru berkenaan lagi yang mengimbas kembali perbualan di gerai tersebut.
Namun apa yang tidak disangka-sangka adalah reaksi peniaga itu yang tidak memarahi atau memalukan pelanggan tersebut kerana menipu.
Malah, peniaga itu tidak mengenakan sebarang caj terhadap lauk yang ‘disembunyikan’ itu.
“Peniaga itu menambah… yang lebih itu, saya belanja je. Lepas ini, jangan lupa tau. Respek betul cara tauke handle situasi macam ini.
“Pandai dia berkias. Dia tak nak lelaki itu malu depan orang lain,” kata Cikgu Asraf lagi.
Di ruangan komen, rata-rata warga maya kagum dengan tindakan peniaga itu kerana menjaga aib pelanggan yang menipunya, malah dilayan dengan baik.
“Jaga aib, pada masa sama beri teguran yang mendalam. Cuma kena terima teguran. Bukan semua orang ada adab dan sabar. Benda makan jadi darah daging, jangan dibuat main.
“Tauke tu jaga aib si pembeli sebab kantoi menipu. Nasib baik tauke tu beritahu lauk ayam dan telur dia belanja. Kalau tak, dah jadi haram walaupun makanan tu halal dimakan.
“Memang ada je buat perangai macam tu tapi ini bab makan, jadi darah daging… seram. Bagus tauke tu boleh bertolak ansur,” demikian antara komen warga maya.
Pada masa sama, segelintir berpendapat peniaga itu mungkin memahami kesusahan pelanggan berkenaan sehingga lauk yang ‘disembunyikan’ tidak dikenakan bayaran.
“Tauke tu nak kongsi rezekinya juga sebab dia tahu mungkin lelaki tu tak ada duit yang cukup untuk bayar makanan tu,” ujar yang lain.