“Elaun je dah RM2k ke RM3k, belum basic..” – Wanita dedah lubuk syarikat besar tawar gaji lumayan, bonus kencang

“Elaun je dah RM2k ke RM3k, belum basic..” – Wanita dedah lubuk syarikat besar tawar gaji lumayan, bonus kencang

 

RAMAI anak muda di negara ini berdepan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan idaman dengan gaji yang lumayan.

Menurut mStar di platform X, seorang bekas jurutera kimia berkongsi tip mencari kerja dengan syarikat-syarikat multinasional (MNC) yang terletak di sekitar Bangsar South, Kuala Lumpur.

Dikenali sebagai Sarini Zainal, wanita itu berkata terdapat banyak lagi MNC yang menawarkan gaji lumayan, namun para pencari kerja harus bijak untuk merebut peluang.

“Jangan perlu stres sangat kalau tak dapat masuk ‘lanyard’ (syarikat minyak dan gas popular). Banyak je syarikat lain gaji lagi besar, benefit dan bonus lagi banyak.

“Tak payah offshore, elaun outstation pun dah AS$120 sehari. Cari MNC. Macam-macam ada dekat Bangsar South tu. MNC Bangsar South ni lain macam sikit.

“Elaun bahasa Korea je pun dah RM2,000 ke RM3,000 sebulan, belum basic (gaji) lagi tu,” ujar Sarini dalam perkongsian tular itu.

Dia turut memberi cadangan kepada pencari kerja untuk meneroka sendiri kawasan Bangsar South yang menempatkan banyak syarikat besar.

“Ada masa merayaplah ke sana. Sambil-sambil tu boleh lepak The Sphere. Ada directory company. Seronok jalan-jalan situ, macam shopping tempat kerja.

“Anda janganlah suruh saya senaraikan nama syarikat kat Bangsar South. Itu bukan job hunting namanya. Beratus list. Saya pun dah umur 37, kena buat kerja untuk anda fresh grad pula.

“Ambil tren, stop kat stesen Kerinchi dan jalan-jalanlah kat situ. Saya dulu naik motor je dari Shah Alam, seorang diri ronda cari kerja. Malas? Google je,” pesannya lagi.

Menurut Sarini lagi, para pencari kerja juga boleh bertanya kepada mereka yang berada di sekitar kawasan itu untuk mencari maklumat tentang kekosongan jawatan.

“Sana ada direktori syarikat. Tulislah dalam telefon. Ambil gambar ke. Balik rumah, buka JobStreet atau LinkedIn. Banyak sangat tau. Opening sana sini.

“Kalau jumpa orang keluar masuk pejabat, tahan je dan tanya sekiranya mereka ada hiring atau tidak. Cubalah benda ni, serius seronok,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sarini turut berkongsi tip kepada para pencari kerja agar sentiasa aktif membuka laman sesawang Job Street.

“Terkejut juga ramai yang tak tahu nak submit atau apply kat mana. Mari saya ajar. JobStreet wajib buka selalu. Dia dah tulis gaji siap-siap untuk sesetengah syarikat.

“Hantar sahaja banyak-banyak. Kat sini akan melalui ejen, jadi ejen akan lebih agresif approach company sebab mereka akan dapat komisyen,” kongsinya lagi.