Duda tertekan duit KWSP habis kena rembat dengan teman wanita, lesap dalam masa sehari
Love scam bukan lagi jenayah baru yang sering berlegar dalam kehidupan kita semua.
Semakin hari, para penipu ini semakin bijak merangka modus operandi untuk mendekati dan mendapatkan kepercayaan ‘target’ mereka sebelum beralih ke fasa terakhir yang cuma menguntungkan 1 pihak.
Malang tidak berbau, seorang perawat Islam baru-baru ini mendedahkan kisah pilu seorang lelaki berstatus duda yang terjerut dengan jenayah penipuan tersebut.
Atas dasar percaya, dia dikatakan bersetuju untuk memindahkan seluruh simpanan KWSP ke dalam akaun bank teman wanitanya.
Di sini, lelaki berkenaan terpedaya dengan pujukan perempuan berkenaan yang konon-kononnya mahu menguruskan aliran kewangan mereka selepas berkahwin.
Siapa menduga, bayang pelamin pun tidak kelihatan, angan-angan untuk mendirikan rumah tangga rupanya sekadar tinggal harapan kosong.
Setelah wang tersebut dipindahkan, wanita itu terus menghilangkan diri dan masih tidak dapat dijejaki sehingga sekarang.
Hanya dalam masa 1 hari, penat lelah bekerja selama puluhan tahun lesap begitu sahaja.
Kesan daripada kejadian itu, duda berkenaan mula mengalami tekanan tatkala mengenangkan kehilangan segala simpanan hari tua.
Lebih menyedihkan lagi, dia juga perlu bertemu dengan doktor psikiatri pada setiap bulan dan bergantung kepada ubat-ubatan untuk kekal waras dalam meneruskan sisa-sisa kehidupan.