Dua varian Covid-19 utama di China dikesan di Malaysia

Dua varian Covid-19 utama di China dikesan di Malaysia

 

Dua varian COVID-19 utama dalam penularan penyakit itu di China iaitu BA.5.2 dan BF.7 telah dikesan di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kedua-dua varian berkenaan dikesan dalam 80 peratus kes COVID-19 di China.

Katanya, di Malaysia setakat 31 Disember lalu, sebanyak 4,148 kes positif melibatkan BA.5.2 manakala tiga lagi kes adalah BF.7.

Begitupun, kedua-dua varian berkenaan, jelas Dr Noor Hisham tergolong sebagai sublineage Omicron BA.5 dan belum tergolong sebagai Lineage Under Monitoring (LUM) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

“Walau bagaimanapun, kedua-dua varian BA.5.2 dan BF.7 dipercayai boleh menyebabkan jangkitan semula atau mempunyai kadar jangkitan yang lebih tinggi disebabkan oleh bilangan kes yang tinggi di China.

“Tetapi belum ada data yang dapat mengaitkan peningkatan bilangan kes kemudaratan atau kematian dengan varian BA.5.2 dan BF.1,” kata Dr Noor Hisham dalam kenyataan pada Isnin.

BF.7, singkatan untuk BA.5.2.1.7, berasal daripada varian Omicron BA.5 dan pertama kali dikesan di dunia pada Julai 2022.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata varian XBB dikesan mendominasi penularan COVID-19 di negara ini sepanjang Disember lalu.

Subvarian Omicron itu, kata beliau merangkumi 55.4 peratus daripada bilangan sampel yang menjalani penjujukan genom.

Jelas beliau, varian XBB juga masih merupakan varian utama yang menular dalam kalangan penduduk Malaysia sejak Oktober lalu.

“Ia diikuti dengan varian BA.2.75 (20.8 peratus) dan varian BQ.1 (10.8 peratus).

“Kedua-dua varian XBB dan BA.2.75 adalah sejenis varian LUM WHO,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dr Noor Hisham menambah, data daripada negara-negara lain yang mengalami penularan XBB seperti Singapura dan India menunjukkan peningkatan bilangan kes jangkitan semula.

Peningkatan tersebut, khususnya kata beliau berlaku dalam kalangan penduduk yang dijangkiti semasa gelombang Delta atau dijangkiti oleh varian membimbangkan (VOC) Omicron sekurang-kurang enam bulan lalu.

Kejadian jangkitan semula, kata Dr Noor Hisham lagi disebabkan ‘immune escape’ yang lebih tinggi oleh XBB.

“Ini mungkin disebabkan oleh tahap antibodi yang sudah mula berkurangan dan menyebabkan jangkitan semula tidak dapat dielakkan.