Dikhabarkan hadir ke mahkamah syariah, Mawar Rashid dan suami bakal bercerai?

Pasangan selebriti Mawar Rashid dan suaminya, Raden Ahmad Faizal Yaakob atau Raf Yaakob dilaporkan bakal bercerai dan mereka sepatutnya hadir ke mahkamah syariah hari ini, lapor Harian Metro.
Bagaimanapun, pasangan berkenaan dikatakan tidak hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur dan sumber Harian Metro memaklumkan mereka mungkin sudah berbaik semula.
Tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan di akaun media sosial masing-masing, di mana kedua-duanya dilihat sibuk dengan rutin harian.
Terdahulu, Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid mengambil keputusan untuk membuka tudung, yang menimbulkan pelbagai reaksi netizen.
Mawar memohon maaf di atas keputusannya itu dan mendakwa telah mencuba untuk kekal istiqamah, tetapi gagal untuk berbuat demikian.
Ketika itu, Raf berkata dia tidak mahu memanjangkan isu tersebut kerana itu adalah hal peribadi antara dia dan Mawar, serta Allah.
Mawar dalam satu kenyataan berkata, dia tahu keputusannya itu bukanlah satu perkara yang baik dan tidak wajar dicontohi.
Abang kepada Raf, Datuk Fazley juga tampil menafikan rumah tangga adiknya itu bergolak disebabkan isu tersebut.